Ramai orang merasa sangat tertekan apabila berhadapan dengan kanak-kanak yang nakal atau degil. Apatah lagi jika kanak-kanak tersebut adalah anak sendiri. Ada kalanya, terasa bahawa rasa tekanan dan masa itu memuncak hingga ke tahap maksima.

Bertenang! Sabar dulu ibu ayah sekalian. Melepaskan kemarahan kepada anak-anak yang bukanlah jalan penyelesaian. Ini kerana karakter yang ada biasanya disalah ertikan sebagai nakal, sedangkan fitrah suka bermain dan mencuba perkara baru adalah sifat biasa bagi kanak-kanak.

CARA TEGUR ANAK

Berikut kami kongsikan beberapa tips mudah untuk berhadapan dengan anak yang nakal.

Kenal Pasti Punca Anak Menjadi Nakal

Kanak-kanak amat mudah bertindak balas serta terpengaruh dengan persekitaran. Sikap nakal, suka menjerit, tantrum dan sebagainya adalah ekspresi emosi agar mereka lebih diberi perhatian dan difahami. Antara perkara-perkara tidak baik yang boleh mempengaruhi anak adalah:

  1. Kurang perhatian dan kasih sayang dari ibubapa.
  2. Penggunaan bahasa dan komunikasi yang tidak baik.
  3. Pengaruh rakan yang nakal
  4. Pertengkaran di kalangan orang sekeliling.
  5. Selalu dimarahi dan dipukul
  6. Pengaruh TV dan gadjet
  7. Bahan bacaan

Perhatikan anak-anak anda. Adakah mereka terdedah kepada salah satu situasi di atas? Jika ya, anda tidak perlu merasa terlalu bimbang. Anda hanya perlu mengambil tindakan segera untuk membetulkan situasi tersebut.

Luangkan Masa Bersama Anak

Walau sesibuk manapun diri anda, luangkan masa bersama anak. Sediakan waktu khusus untuk berbicara dengan mereka serta mendengar luahan emosi mereka.

Sebagai contoh, tetapkan masa khusus selama satu jam setiap hari antara waktu maghrib dan isyak. Dalam tempoh itu, anak-anak boleh meluahkan rasa serta bercerita tentang aktiviti yang mereka lalui setiap hari.

Selain mampu membina emosi positif dalam diri anak-anak, ibu bapa juga dapat mengetahui aktiviti dan perkembangan anak setiap hari.

Gunakan Gaya Komunikasi Dan Bahasa Yang Betul

Salah satu punca yang menyebabkan anak menjadi nakal adalah penggunaan bahasa yng tidak betul semasa berkomunikasi dengan anak.

Perkara ini nampak remeh, namun ia memberi kesan yang besar kepada perkembangan diri dan peribadi anak.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Menurut, Dr Azlina Roszy, Pakar Psikologi Klinikal di Hospital Pakar An-Nur, Bangi, terdapat 10 kesalahan yang sering dilakukan oleh ibu bapa semasa berkomunikasi dengan anak. Antara kesalahan tersebut adalah bahasa menyindir, melaknat, menipu, membebel, membandingkan, mengugut, menuduh dan membisu.

Semua gaya percakapan ini perlu diganti dengan cara yang lebih positif. Sebagai contoh memberi penerangan yang jelas, bercakap benar, menggunakan bahasa yang mudah difahami, tidak membanding sesama anak-anak serta melayani pertanyaan anak-anak dengan penuh kasih sayang.

Mendidik anak yang nakal tentunya memerlukan kesabaran yang tinggi dan perhatian yang teliti. Anak merupakan amanah dari Allah. Mereka merupakan manusia kecil yang masih belum memahami erti sebenar sebuah kehidupan.

Sama seperti kita yang telah dewasa, anak-anak juga mempunyai emosi yang tersendiri.  Justeru, ibu bapa harus berhati-hati dalam memberi nasihat. Bak kata pepatah, bagai menarik rambut dari tepung. Rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak.

cara nasihat anak

Petikan dari Buku How To Talk So Kids Will Listen

Disarankan juga anda membaca buku ‘parenting’ seperti, Tarbiyatul Aulad Jilid 1 dan 2, How to talk So Kids Will Listen & Listen and Kids Will Talk, 365 Tips Didik Anak Gaya Nabi dan Screaming Free Parenting.

Begitulah juga dengan amanah mendidik anak yang nakal. Akhlak dan peribadi anak perlu dibentuk menjadi manusia yang baik, namun hati dan jiwa mereka perlu dijaga agar tidak terluka dan cedera.