Pelbagai cara untuk memberi pengenalan awal kepada anak-anak dalam mengenal huruf dan nombor terutamanya dirumah. Hal ini bukan untuk memberi tekanan kepada anak-anak, ia sekadar pengenalan awal yang santai agar tujuannya dapat memupuk minat anak-anak dalam membudayakan membaca dan mencintai ilmu. Bak kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’.

Salah satu cara adalah dengan menggunakan teknologi yang ada kini sebenarnya secara tidak lansung teknologi juga mampu membantu para ibubapa dalam memberi pengenalan awal kepada anak-anak terhadap huruf dan nombor, namun perlulah dibawah seliaan ibubapa, dipantau dan dikawal secara berkala.

Hal ini dibimbangi teknologi yang dapat memberi kemudahan itu disalahguna sehingga boleh merosakkan perkembangan anak-anak pula.

Antara cara-cara melatih anak-anak kecil mengenal huruf dan nombor di rumah ialah:

 

  • Permainan Game pada gadget yang berunsurkan pengenalan huruf dan nombor.

Sekiranya anak-anak memang suka bermain gadget, gantikan dengan game yang ada unsur-unsur huruf dan nombor. Banyak aplikasi dan game yang boleh dimuat turun. Elakkan daripada permainan yang tidak mendatangkan manfaat sebaliknya ganti dengan permainan yang boleh menguji minda, memperkenal huruf dan nombor kepada anak-anak.

Namun, perlulah dipantau selalu dan tidak pula bermain gadget terlalu kerap. Hadkan kepada beberapa waktu. Contohnya setiap hari Ahad dan Sabtu dari pukul 0300 ptg hingga 0330 ptg sahaja beserta pantauan daripada ibubapa. Kemudian proses pengenalan huruf dan nombor menggunakan kaedah yang lain pula.

  • CD/DVD ABC dan 123.

Memasang dan memainkan CD/DVD ABC dan 123 di televisyen. Terdapat banyak dipasaran tempatan CD atau DVD yang dapat memberikan pengenalan awal tentang huruf dan nombor. Sama ada berbentuk kartun atau tidak.

Ada CD dan DVD yang menyertakan buku agar dapat menyemak huruf-huruf atau nombor-nombor tersebut dengan CD yang dipasang. Terdapat banyak volume CD/DVD, jadi boleh pilih mengikut kesesuaian dan tahap umur anak-anak.

  • Menyanyi karaoke ABC dan 123.

Salah satu cara untuk memudahkan pengenalan huruf dan nombor kepada anak kecil ialah dengan cara mengajak anak-anak menyanyi atau berkaraoke dirumah. Pasang lagu-lagu karaoke tentang huruf dan nombor, anak akan mengikut irama lagu sambil mereka sendiri yang melantunkan suara untuk lagu ABC dan nombor tersebut.

  • Buku ABC dan nombor yang berteknologi AR (Augmented Reality).

Mungkin ramai yang sudah tahu dan sudah terdedah dengan buku yang berteknologi AR ini. Buku ini merupakan sebuah buku yang dimuatkan dengan aplikasi AR iaitu aplikasi interaktif yang menampilkan elemen 3D.

Jika ibubapa melanggan buku yang berteknologi AR ini ibubapa akan diberi panduan untuk memuat naik aplikasi AR. Secara tidak lansung, ia boleh mengelakkan anak-anak daripada berasa jemu. Antara buku berteknologi AR yang hangat dipasaran sekarang ini seperti buku Didi and Friends, Little Bebi dan banyak lagi.

  • Tampal Poster.

Jika ibubapa perasan, di kedai-kedai buku juga terdapat pelbagai jenis poster yang dijual termasuklah poster ABC, nombor-nombor, huruf jawi, cara wuduk, cara solat dan lain-lain. Kebanyakkan poster-poster tersebut harganya tidak lah terlalu mahal. Jadi, ia boleh dibeli untuk ditampal di dinding bilik, diruangan tempat anak-anak bermain atau ditempat yang anak-anak kerap melihat poster tersebut.

Hal ini kerana apabila anak-anak selalu melihat poster itu, secara tidak lansung mereka cenderung untuk bertanya sekaligus dapat mengenal dan belajar sambil bermain disamping dapat menjentik perasaan ingin tahu mereka.

  • Kad Imbasan

Ibu bapa juga boleh menggunakan flashcard yang menarik perhatian anak-anak. Cuba selang selikan semasa mereka bermain atau semasa mereka sedang berbaring hendak tidur. Gantikan cerita –cerita ‘bedtime story’ kepada flashcard yang berwarna warni.

Buat cerita mengikut turutan flashcard, memang menyeronokkan! Aktiviti ini secara tidak lansung meransang daya imiginasi anak-anak untuk menjadi lebih kreatif disamping mengeratkan hubungan antara ibubapa dan anak.

Contohnya ‘A’ untuk ‘Ayam’, maka rekalah sebuah cerita tentang Kisah Ayam. ‘B’ untuk ‘Bola’, rekalah sebuah cerita tentang Kisah Bola. Jadi ‘Bedtime Story’ anak-anak digantikan dengan kisah turutan Alphabet. Begitu jugalah dengan nombor. Lama-kelamaan mereka menjadi seronok dan minat untuk mengenal huruf dan nombor.

Selain itu, flashcard juga sebenarnya dapat menguji ingatan anak-anak terhadap huruf dan nombor yang telah diajarkan sebelum ini. Bawa mereka membuat perbandingan diantara huruf atau nombor di flashcard dengan poster yang ditampal. Ia juga seperti permainan teka-teki buat mereka.

  • Buku-buku Mewarna (Colouring Book).

Hadiahkan buku mewarna ABC dan nombor kepada anak. Buat kejutan kepada mereka agar mereka lebih teruja untuk mewarna. Sambil mewarna pasti perasaan ingin tahu hadir untuk bertanya ibubapa, apakah yang mereka sedang warna.

Di situlah peluang ibubapa untuk meneruskan langkah seterusnya mengenalkan dan membuat ulangkaji kepada mereka tentang huruf dan nombor sambil  anak-anak sedang mewarna.

Semoga panduan ini dapat memberikan idea kepada anda semua khusunya ibu-bapa yang mempunyai anak dalam lingkungan 5 atau 6 tahun. Walau bagaimanapun elakkan memaksa anak, biarkan ia bermain dalam masa yang sama belajar mengenal huruf.

Untuk tidak terlepas info penting follow: telegram.me/pendidik2u