Kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan, yang mana sebelum ini telah bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac, kemudian dilanjutkan lagi dari 1 April hingga ke 14 April 2020 dan terbaru dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei.

Kita jangkankan ia akan dilanjutkan lagi sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.

Sekiranya dilanjutkan, mungkin akan ditambah 14 hari lagi. Manakala jika tiada lanjutan, mungkin sesi persekolahan juga akan dibuka semula.

Namun begitu, KKM menasihatkan supaya tiada apa-apa perhimpunan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat PKP.

Apa yang membimbangkan ialah, suasana di sekolah amat berbeza, murid-murid tidak mampu mematuhi arahan menjarakkan diri 1 meter dengan orang lain, kerana mereka sudah pasti akan berada dalam 1 kelas yang padat 35-40, akan berhimpit-himpit di kantin ketika membeli makanan, akan bersesak ketika balik dan ketika menaiki bas.

Semua ini risiko yang amat besar untuk diambil, kerana kita sendiri tidak tahu siapa yang telah dijangkiti virus, kerana tiada gejala yang ditunjukkan di peringkat awal.

Oleh itu bagaimanakah cara untuk kita menghadapi cabaran pandemik dunia ini?

Adakah kita perlu menunggu sehingga tiada lagi kes Covid-19 dilaporkan barulah kita akan memulakan sesi persekolahan?

KPM juga telah mengumumkan pembatalan UPSR 2020 DAN PT3, ini bermakna murid tahun 6 dan tingkatan 3 tidak menduduki peperiksaan tersebut pada tahun ini.

Kita juga perlu bersedia untuk hidup dengan norma baharu, menjaga jarak 1 meter, tidak berkumpul, mencuci tangan dengan sabun dan sebagainya..