Semalam, ramai MP yang bertanya tentang kaedah pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP). Saya telah menjelaskannya di Dewan Rakyat semalam dan berikut ialah rumusan daripada jawapan saya.

Ada dua kaedah yang akan kita gunakan.

Kaedah pertama ialah pengoperasian PSP selama 30 minit menggunakan kombinasi menu utama dalam bentuk makanan bermasak dan menu buah-buahan.

Kaedah kedua pula ialah pengoperasian PSP selama 10 minit menggunakan kombinasi menu minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan menu makanan ringkas (berkonsepkan ready to eat/grab n go) seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih dan telur rebus.

Senarai menu PSP dibangunkan bersama-sama dengan kepakaran pihak Kementerian Kesihatan dan IPTA bagi memenuhi khasiat yang diperlukan oleh murid.

Waktu pemberian sarapan pagi ialah sebelum jam 8.30 pagi bagi murid sesi pagi dan sebelum 4.00 petang bagi murid sesi petang.

Waktu makan akan dijadualkan secara berperingkat-peringkat dan lokasi tempat makan murid akan dipelbagaikan menggunakan ruang ataupun bilik yang ada di sekolah. Ini dapat memberikan masa untuk murid mencuci peralatan makanan masing-masing.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Di samping itu, kaedah makanan di dalam kelas bersama-sama guru merupakan satu langkah praktikal daripada segi ruang dan hubungan mesra guru dengan murid. Guru akan bersarapan dengan murid di samping mengambil peluang untuk mendidik mereka tentang khasiat makanan dan adab makan.

Ini juga termasuk sebahagian dariapada Pendidikan Sivik yang ingin diterapkan oleh kementerian pada waktu ini.

Yang paling penting di dalam PSP ialah elemen pendidikan yang akan diterapkan. Anak-anak kita mesti mengamalkan pengambilan sarapan yang berkhasiat dan gaya hidup yang sihat dari segi fizikal dan mental.

Nilai-nilai murni seperti berdisiplin dan adab pemakanan yang baik di samping meningkatkan pengetahuan dan kesedaran terhadap kesihatan diri serta mengelakkan pembaziran akan terus diterapkan kepada anak-anak kita.

Hasrat kita ialah untuk memastikan melalui PSP ini kita dapat membentuk generasi Malaysia yang baharu yang lebih berpengatahuan berpendidikan sivik, nilai murni dan sihat dan penuh dengan nutrisi.

Program PSP ini akan memberi manfaar buat lebih daripada 2.6 juta murid sekolah rendah di seluruh negara.

Sumber; Facebook Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik