Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2021: Garis Panduan Permohonan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Di Sekolah Dan Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia. Rujuk: SPI Terbaru Pertukaran Guru

Beberapa penambahbaikan telah dibuat oleh pihak KPM bagi memastikan masalah pertukaran guru dapat diselesaikan dengan baik. Dengan adanya SPI terbaru ini ia membatalkan SPI sebelum ini yang mana telah lama digunakan iaitu SPI Bil 3/75 dan SPI Bil 1/1978.

Bayangkan sudah berapa lama SPI baru tidak dikeluarkan.

Masalah pertukaran sebenarnya akan sentiasa berlaku kerana beberapa sebabnya tersendiri, contohnya selepas tamat pengajian guru ditempatkan di negeri lain, tanpa melihat pasangannya yang sedang bekerja di negeri lain.

Perkara seperti ini akan sentiasa berlaku kerana penempatan guru adalah berdasarkan kekosongan.

Selain itu juga, ramai guru ditempatkan di luar negeri tempat keluarga mereka tinggal, kes seperti ini tidaklah seberat kes PJJ, namun rata-rata guru yang mahu berkhidmat di negeri sendiri akan memohon pertukaran untuk dapat pulang ke kampung halaman.

Kes-kes lain juga menyebabkan guru memohon pertukaran seperti masalah kesihatan yang memerlukan rawatan di negeri lain, masalah ancaman keselamatan dan sebagainya.

Mari kita lihat perkara penting di dalam SPI terbaru ini.

PERTUKARAN ATAS PERMOHONAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN

Permohonan pertukaran boleh dibuat berdasarkan kategori berikut:

Kategori 1: Kesihatan

PPP/suami/isteri/anak menghidap penyakit yang memerlukan rawatan perubatan
berterusan dan bergantung kepada ubat-ubatan.

Permohonan pertukaran perlu disokong dengan laporan perubatan dan disahkan oleh pakar perubatan hospital Kerajaan.

Tempoh sah laporan perubatan tersebut adalah tidak melebihi dua (2) tahun dari tarikh laporan perubatan dikeluarkan.

Kategori 2: Keselamatan

PPP/suami/isteri/anak menerima ancaman keselamatan. Permohonan pertukaran
perlu disokong dengan laporan polis dan Pemberitahuan Penyiasatan Kes Polis
Diraja Malaysia.

Tempoh sah laporan tersebut adalah tidak melebihi satu (1) tahun dari tarikh Pemberitahuan Penyiasatan Kes dikeluarkan.

Kategori 3: Pasangan Suami/Isteri Berjauhan

PPP yang tinggal berjauhan dengan suami/isteri:

(i) Permohonan pertukaran untuk mengikut suami/isteri atas arahan perkhidmatan perlu disokong dengan surat rasmi Arahan Pertukaran daripada majikan suami/isteri.

(ii) Permohonan pertukaran untuk mengikut suami/isteri di negeri atau daerah yang dimohon perlu disokong dengan dokumen sokongan keberadaan suami/isteri di negeri atau daerah yang dimohon.

Kategori 4: Lain-Lain

PPP boleh memohon pertukaran di bawah kategori ini sekiranya permohonan PPP
tidak tergolong dalam kes permohonan kategori 1 hingga 3.

Sebagai contoh, permohonan pertukaran secara bersama oleh PPP dan suami/isteri yang tinggal
bersama atau tinggal berasingan ke negeri atau daerah yang dimohon.

Pertukaran atas permohonan PPP dilaksanakan berdasar tatacara berikut:

Ketetapan Umum
(i) Semua permohonan pertukaran perlu dibuat secara dalam talian melalui Modul e-GTukar.

(ii) Permohonan pertukaran dibuka sepanjang tahun.

(iii) Tempoh sah permohonan adalah satu (1) tahun dari tarikh permohonan.

(iv) Pertukaran PPP yang menyandang jawatan Pengetua/Guru Besar, Penolong Kanan, Guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Tingkatan 6 di sekolah atau kolej vokasional dilaksanakan sepanjang tahun.

(v) Pertukaran PPP kecuali seperti yang dinyatakan di para (iv) di sekolah atau kolej vokasional dilaksanakan mengikut sesi penggal persekolahan.

(vi) Maklumat permohonan pertukaran PPP perlu disahkan oleh Pengetua/Guru
Besar dalam Modul e-GTukar.

(vii) Maklumat permohonan pertukaran Pengetua/Guru Besar perlu disahkan oleh Ketua Jabatan dalam Modul e-GTukar.

Penambahbaikan yang terbaru ini membenarkan guru membuat permohonan sepanjang tahun, kerana permohonan pertukaran dibuka sepanjang tahun. Sebelum ini ia hanya dibuka sekali setahun, dan keputusan 2 kali iaitu sesi Jun dan Januari.

TARIKH KUAT KUASA
SPI ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022.