Pernahkah anda terfikir mengapa ada sesetengah golongan manusia yang mampu bekerja di sesebuah syarikat dengan tempoh yang sangat lama walaupun gaji pokok atau kadar kenaikkan gaji amatlah rendah?

Apa yang membuatkan mereka mampu bertahan? Mungkinkah “ada udang di sebalik batu”? Ada juga yang sanggup kekal kerja di tempat tersebut walaupun jaraknya jauh dari rumah sedangkan masih ada peluang pekerjaan berdekatan dengan tempat tinggal mereka.

Mereka juga terpaksa keluar rumah seawal yang boleh untuk sampai di tempat kerja pada waktu yang tepat. Sehingga muncul kata-kata “keluar gelap, balik pun gelap”.

 Selain daripada faktor gaji, bonus, cita-cita dan kelebihan-kelebihan yang “dipayung” oleh majikan, faktor hubungan semasa bekerja juga menjadi sebab setianya seseorang dengan pekerjaan tersebut.

Nampak seperti biasa-biasa sahaja, akan tetapi percayalah hubungan yang baik semasa bekerja akan membuatkan anda merasa seperti bekerja dari rumah dan memberi impak kepada kehidupan peribadi anda.

Terdapat beberapa petua atau tips menjaga hubungan baik semasa bekerja.

  1. Amalkan Sikap Bantu Membantu.

Setiap pekerja mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan dengan jayanya. Namun pelbagai masalah pasti muncul dalam setiap tugasan yang dipikul.

Di sinilah pentingnya usaha bantu membantu antara rakan sekerja kerana masalah tersebut akan lebih mudah dan cepat diselesaikan. Setiap pekerja akan merasa tidak bersedirian apabila dilanda masalah.

  1. Menerima Pandapat Dengan Hati Terbuka.

Dalam suasana bekerja yang progresif, penting untuk kita mendapatkan pandangan serta menerima kritikan supaya cabang-cabang idea semakin meluas.

Ini dapat memberikan manfaat kepada semua pekerja kerana dari pendapat yang berbeza-beza kita boleh mencapai satu kata putus yang terbaik untuk semua dan demi keharmonian suasana di tempat kerja.

Menerima pendapat dengan hati terbuka sangat penting supaya berkurangnya ego serta sombong yang akan mengganggu keakraban antara rakan sekerja.

  1. Bersikap Toleransi & Saling Memaafkan

Sudah menjadi lumrah sebagai manusia, setiap dari kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan sama ada secara sedar atau tidak. Dalam komuniti di tempat kerja, pelbagai salah faham sering berlaku antara sesama rakan sekerja.

Kita harus bertolak ansur agar keaadan tidak semakin keruh. Juga, memaafkan kesilapan rakan sekerja kita dapat mewujudkan satu hubungan yang jauh lebih baik di masa hadapan serta memberi impak terhadap kesihatan minda kita sendiri.

  1. Menghargai Jasa Baik Rakan Sekerja.

Setiap dari kita harus menghargai pertolongan yang telah kita terima dari rakan sekerja kita. Ini kerana mereka juga mempunyai masalah, tetapi mereka sanggup membantu supaya kita tahu bahawa kita tidak bersendirian dalam menghadapi masalah. Sekadar ucapan terima kasih sudah cukup membuatkan mereka berasa sangat gembira.

Semoga pekerjaan kita memberi impak yang sejahtera kepada kehidupan peribadi kita.