Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran. Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.

Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium. Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan. Jadi, saudara saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton.

Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan.

Majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan. Perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan. Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.