PERMOHONAN MENGIKUTI PROGRAM KELAYAKAN PROFESIONAL PEMIMPIN PENDIDIKAN KEBANGSAAN ATAU NATIONAL PROFESSIONAL QUALIFICATION FOR EDUCATIONAL LEADERS (NPQEL) AMBILAN TAHUN 2021

Program NPQEL merupakan satu inisiatif latihan dalam perkhidmatan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan membentuk satu kelompok pemimpin pelapis yang bakal menerajui institusi pendidikan khususnya sekolah ke tahap yang cemerlang dan unggul.

Setiap pengetua/guru besar dikehendaki mendapatkan sijil NPQEL daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebelum boleh dilantik sebagai pengetua/guru besar: PPPM 2013-2025.

Iklan dibuka mulai 29 Mei hingga 7 Ogos 2020. Proses sokongan Ketua Jabatan berakhir pada 14 Ogos 2020. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang berminat dan memenuhi semua syarat boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui Sistem Modul Penggantian Pemimpin Sekolah (MPPS), http://tls.moe.gov.my

Penting:
1. Pastikan maklumat dalam Sistem ePangkat dan eOperasi telah dikemaskini sebelum permohonan dilakukan
2. Sila rujuk dengan teliti syarat-syarat dan manual pengguna yang disediakan

Maklumat lanjut:
1. Telefon: 06-7979 200 (sambungan 374/377/396)
2. E-mel: suhajanazer@iab.edu.my
3. Informasi NPQEL: https://bit.ly/3gADvhv
4. Pertanyaan: https://bit.ly/2yUAoAb
5. Soalan Lazim: https://bit.ly/3dmC2td

Apakah perkara utama yang saya perlu lakukan sebelum membuatpermohonan melalui Sistem MPPS?
Jawapan:

Setiap pemohon perlu melakukan perkara-perkara berikut sebelum mengakses Sistem MPPS untuk membuat permohonan:


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


  • Memastikan maklumat dalam Sistem ePangkat dan eOperasi telah dikemaskini; dan
  • Membaca dan memahami syarat-syarat permohonan dan manual pengguna (disediakan pautan pada Dashboard Utama Sistem MPPS).

Soalan:
Saya telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan tetapi menghadapi masalah untuk meneruskan permohonan kerana terdapat paparan yang menyatakan “anda didapati tidak memenuhi syarat”. Apakah sebab perkara ini berlaku?

Jawapan:
Maklumat dalam Sistem ePangkat dan eOperasi belum dikemaskini sepenuhnya oleh Pentadbir Sistem di jabatan masing-masing.

Soalan:
Saya telah menjawat jawatan pentadbiran (Guru Kanan Mata Pelajaran /Ketua Bidang /Penolong Kanan (termasuk Penolong Kanan yang dilantik secara pentadbiran di SKM(B)/jawatan-jawatan pentadbiran di
PPD/JPN/Bahagian/IAB/Institut Pendidikan Guru/Kolej Matrikulasi) melebihi tiga (3) tahun, tetapi terdapat paparan yang menyatakan “anda didapati tidak memenuhi syarat”. Apakah sebab perkara ini berlaku.

Jawapan:
Maklumat dalam Sistem ePangkat (Maklumat Pengalaman Kerja) belum dikemaskini sepenuhnya oleh Pentadbir Sistem di jabatan pemohon.

Soalan:
Saya telah memohon pada tahun yang lalu tetapi tidak terpilih. Bolehkan saya muat naik borang kesihatan yang sama untuk permohonan pada kali ini?

Jawapan:
Boleh sekiranya tarikh pemeriksaan kesihatan tidak melebihi satu (1) tahun ketika permohonan dibuat.

Soalan:
Bolehkah saya membuat pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik swasta?

Jawapan:
Boleh dengan syarat pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh “Pengamal Perubatan Berdaftar” (bermaksud pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971, sama ada pegawai perubatan kerajaan atau swasta).

Soalan:
Saya telah berjaya log in Sistem MPPS tetapi terdapat paparan “Anda didapati tidak memenuhi syarat di bawah: Mencapai wajaran markah LNPT/PBPPP tiga (3) tahun terakhir sebanyak 85%”. Apakah maksudnya?

Jawapan:
Markah LNPT/PBPPP untuk tiga (3) tahun terkini dalam Sistem ePangkat belum dikemaskini sepenuhnya oleh Pentadbir Sistem di jabatan pemohon.

Terima kasih

Unit Penyelarasan NPQEL dan Program Khas
Seksyen Pengurusan Program
Pejabat Pendaftar
IAB Induk