Pakai pelitup muka, bantu selamatkan negara daripada gelombang ketiga

Semalam, 1 Ogos 2020 telah berkuatkuasa satu peraturan baharu dalam norma baharu yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak.

Media melaporkan majoriti orang ramai mematuhi peraturan baharu itu berdasarkan tinjauan di beberapa lokasi tumpuan utama di ibu negara dan Georgetown sehinggalah ke Gua Musang.

Namun, ada juga yang ingkar dan dikenakan tindakan oleh PDRM seperti di Butterworth dan Port Dickson.

Kerajaan telah umumkan peraturan baharu pada 23 Julai lalu bagi memberi masa kepada orang ramai bersiap sedia dan membiasakan diri.

Peraturan itu dikuatkuasa mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988), jika ingkar boleh didenda RM1,000.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM menguatkuasa sepenuhnya peraturan baharu itu.

Katanya, PDRM mengguna pendekatan budi bicara dan berhemah untuk pastikan tiada unsur penganiayaan.

PDRM akan memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu sebelum tindakan kompaun kepada yang ingkar, kata Abdul Hamid seperti yang dilaporkan Berita Harian.

PDRM mengetuai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan SOP yang ditubuhkan kerajaan.

Pelitup muka berkesan mencegah risiko jangkitan #covid19 sehingga 60% susulan penemuan terbaharu virus itu boleh disebarkan melalui udara.

Pelitup muka diwajibkan di tempat awam sesak ekoran penjarakan fizikal semakin sukar selepas semua sektor ekonomi dibuka hampir sepenuhnya bermula 10 Jun lalu.

Tempat atau lokasi yang bebas dimasuki atau dikunjungi orang awam tanpa halangan adalah tempat awam.

Jika tempat itu dipenuhi orang awam yang tiada penjarakan fizikal, secara automatik orang awam wajib memakai pelitup muka.

Antara kawasan awam itu pasar tani, pasar raya, taman rekreasi dan tempat pelancongan. Peraturan ini juga terpakai di semua pengangkutan awam seperti bas, LRT, MRT dan perkhidmatan e-hailing (rujukan Majlis Keselamatan Negara)


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Di beberapa negara, kes kembali meningkat selepas perintah berkurung atau darurat atau kawalan pergerakan ditamatkan dan sektor ekonomi dibuka semula seperti di Australia, Hong Kong, Jepun, Jerman, India dan Sepanyol.

Mengambil pengajaran daripada kejadian itu dan mengelak gelombang ketiga COVID19, kerajaan atas nasihat KKM mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak.

Penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter masih ditekankan KKM kerana ia langkah pencegahan paling berkesan selain amalan lain seperti kerap mencuci tangan dengan betul dan berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.

Dalam pesanan khas sempena penguatkuasaan peraturan baharu, Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba menjelaskan hanya 4 kategori orang tidak boleh pakai pelitup muka iaitu:

1. Kanak-kanak bawah 2 tahun
2. Mereka yang sukar bernafas
3. Individu yang tidak sedarkan diri
4. Orang kurang upaya yang tidak mampu menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan.

Negara kita telah berjaya mengharungi gelombang pertama dan kedua COVID19 dan kita tidak sanggup untuk berdepan gelombang ketiga apatah lagi PKP.

Kita semua perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk melawan wabak ini kerana bersatu kita teguh bercerai kita roboh, nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kita perlu menjaga diri sendiri daripada dijangkiti virus COVID19 dengan mematuhi semua SOP termasuk memakai pelitup muka di tempat sepatutnya.

Tindakan kita ini secara langsung membantu menyelamatkan negara daripada gelombang ketiga.

Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Peringatan: Gambar hiasan ini diambil dari Berita Harian ketika operasi pematuhan SOP. Tidak dinyatakan mereka dalam gambar ini dikenakan tindakan kompaun. Justeru, komen yang ditulis secara melulu berdasarkan gambar ini akan dipadam.