Sebelum ini pelbagai isu berkenaan program LINUS, sehingga membuatkan guru-guru tertekan dengan bebenan tugas.

Isu ini ditambah lagi dengan kontroversi guru diarah ‘meluluskan’ murid yang sebenarnya tidak ‘lepas’.

Akhirnya, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin membuat pengumuman:

LINUS DIHENTIKAN 2019

Berikut adalah berita pengumuman dari KPP KPM.

KOTA KINABALU: Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan sejak 2009, akan dihentikan bermula tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, bagaimanapun berkata, sekolah akan melaksanakan program sendiri mengikut kesesuaian bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis dalam kalangan murid.

Katanya, pendekatan kementerian ketika ini adalah memberi peluang kepada pihak sekolah untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi dan mencari jalan penyelesaiannya.

“Program LINUS tidak akan ada lagi (mulai tahun depan) tetapi program pada peringkat sekolah ada. Kegiatan untuk memastikan murid menguasai literasi dan numerasi peringkat sekolah akan tetap berlaku.

“Pendekatan sekarang, sama ada peringkat kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan memberi sokongan kepada program dirangka pihak sekolah masing-masing.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


“Sehubungan itu, setiap sekolah perlu ada inisiatif sendiri merangka program masing-masing yang sesuai dengan keperluan murid di sekolah mereka,” katanya kepada media selepas majlis Executive Talk Bersama Warga Pendidik Sabah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Amin berkata, langkah menghentikan LINUS antara lain kerana pihaknya tidak mahu lagi menyediakan ‘pakej’ atau modul sesuatu program dari atas ke bawah kementerian turun ke peringkat sekolah, sebaliknya sekolah melaksanakan program mengikut ‘acuan’ sendiri.

Program LINUS yang diperkenalkan pada Ogos 2009 adalah sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dalam Program Transformasi Kerajaan, bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M dengan lebih sistematik.

Pelaksanaan Program LINUS mensasarkan 100 peratus murid Tahun Tiga menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum naik ke Tahun Empat, kecuali Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Sumber: Bharian

Untuk tidak terlepas info penting follow: telegram.me/pendidik2u