Koleksi Pantun Pengacara Majlis

    11
    0
    PANTUN MAJLIS
    PANTUN PEMBUKA ACARA
    Melati kuntum tumbuh melata,
    Sayang merbah di pohon cemara;
    Assalamualaikum mulanya kata,
    Saya sembah pembuka bicara.
    Mencari timba si anak dara,
    Di bawah sarang burung tempua;
    Salam sembah pembuka bicara,
    Selamat datang untuk semua.
    Sayang kumbang mencari makan,
    Terbang seiring di tepi kali;
    Selamat datang kami ucapkan,
    Moga diiringi restu Ilahi.
    Ke Pekan Kuala membeli bingka,
    Sayang pesanan terlupa sudah;
    Majlis bermula tirai dibuka,
    Dengan alunan madah yang indah.
    Indah berbalam si awan petang,
    Berarak di celah pepohon ara;
    Pemanis kalam selamat datang,
    Awal bismillah pembuka bicara.
    Koleksi Pantun
    Mega berarak indah berbalam,
    Dipuput bayu ke pohon ara;
    Pemanis kalam selamat malam,
    Awal bismillah pembuka bicara.
    Assalamualaikum salam sejahtera
    Pembuka kata lidah bicara
    Izinkan saya mulakan acara 
    Semoga majlis disambut ceria 
    Kompang bergema pusaka bangsa 
    Dipalu oleh si anak muda 
    Hadir tuan meriah suasana 
    Kami menyambut penuh gembira 
    Ulik Mayang nyanyian asli
    Dilagu si gadis merdu sekali
    Terima Kasih sekalung budi
    Sudi datang ke majlis merai.
    Melayang serindit di atas permatang
    Merbah berkicau di hujung muara
    Pemanis kata selamat datang,
    Awal Bismillah pembuka bicara.
    PANTUN BACAAN DOA
    Kalau pergi Tanjung Keramat,
    Anak manis jangan diangkat;
    Bersama kita memohon rahmat,
    Moga majlis mendapat berkat.
    Tetak buluh kajang sepuluh,
    Laksana dititing kias ibarat;
    Angkat tangan jemari sepuluh,
    Doa di pohon biar selamat.
    Lebat kemiri pohonnya rendah,
    Dahan terikat tali perkasa;
    Sepuluh jari kami menadah,
    Mohon berkat yang Maha Esa.
    Tetak buluh kajang sepuluh,
    Mari jolok sarang penyengat;
    Angkat tangan jemari sepuluh,
    Doa di pohon biar selamat.
    Anugerah di kecap si anak watan
    Mengangkat senjata bidalan suara
    Menadah tangan memohon keberkatan
    Mendapat restu hidup sejahtera
    Bunga mawar cantik tersemat
    Dipetik gadis di tepi titi
    Doa dibaca memohon Rahmat
    Moga Majlis sentiasa diberkati
    Tangan ditadah penuh inayah,
    Majlis dibuka penuh rahmatNya,
    Mohon keberkatan serta hidayah,
    Moga tercerna minda kelas pertama.
    PANTUN UCAPAN 
    Duduk sekawan gadis jelita,
    Buat santapan untuk pahlawan;
    Tampillah tuan kami meminta,
    Madah ucapan kata aluan.
    Sudilah tuan jalan berlapan,
    Jalan berlapan di malam kelam;
    Sudilah tuan beri ucapan,
    Kata aluan pemanis kalam.
    Emas tempawan buatmu puteri,
    Busana indah buat rupawan;
    Sudilah tuan tampilkan diri,
    Bersama madah kata aluan.
    Duduk sekawan si burung unta,
    Tepi keramat di waktu malam;
    Padamu tuan kami meminta,
    Kata azimat penutup kalam.
    Pergi ke kota beli selasih,
    Sayang si dara buat halwa;
    Berilah kata simpulan kasih,
    Sulamkan mesra satukan jiwa.
    PANTUN UCAPAN PERASMIAN
    Daun semulur di pekan sari,
    Batang jerami rebah ke bumi;
    Madah dihulur sembah diberi,
    Kata perasmi hajatnya kami.
    Kalau tuan pikat kenari,
    Jangan patahkan batang jerami;
    Kepada tuan sembah diberi,
    Mohon rasmikan majlis kami.
    Bunga selasih di dalam taman 
    Harum melati penyeri intan
    Terima kasih ucapan tuan
    Kekal bersemi dalam ingatan 
    Tuah tersenyum pada Si Teja,
     Duduk bersimpuh sambil bersila,
     Kain ditenun bersama reja,   
     YDP PIBG hormat dipersila,  
    PANTUN PERSEMBAHAN 
    Pakaian dipakai cantik berseri,
    Majlis keraian kita semua,
    Majlis kita takkan berseri,
    Tanpa persembahan multimedia
    Dari Kedah ke Kuala Perlis
    Singgah bersantai di tepi jeti
    Persembahan pembukaan memeriahkan majlis
    Semoga hadirin terhibur di hati.
    Sehabis merah daun yang sihat
    Dahan melebar bercerita sakan
    Majlis anugerah mohon berehat
    Persembahan pelajar kita saksikan
    PANTUN JEMPUT MAKAN
    Lebat rumbia di Sungai Kedah,
    Sayang senduduk di tepi muara;
    Penganan mulia terletak sudah,
    Samalah duduk menjamu selera.
    Terbang sekawan si burung merbuk,
    Batang selasih di Tanjung Dara;
    Padamu tuan kami persembah,
    Santapan kasih juadah mesra.
    Kalau tuan pikat cemara,
    Buatlah bara bakar selasih;
    Sudilah tuan jamu selera,
    Hidangan mesra pengikat kasih.
    Sungguh indah bunga kemboja,
    Di bawah atap tepi halaman;
    Juadah sudah letak di meja,
    Sudilah santap tuan budiman.
    PANTUN ANUGERAH
    Terbang tinggi si burung helang
     Berkicau kenari sambil berterbangan
     Insan cemerlang negara terbilang
     Anugerah diberi tanda kecemerlangan.
    Warga cemerlang tersenyum manis
     Hadir bersama ibu bapa wibawa
     Sambutan anugerah penyeri majlis
     Sematkan gagah  di dalam jiwa
    Berkebaya batik berwarna merah 
    Diserikan dengan permata berlian 
    Tibalah masa penyampaian anugerah 
    Penerima teruja menunggu giliran 
    Ikan sembilang, sepat dan kelah
    Guna bubu biasa di hujung
    Pencapaian cemerlang dapat hadiah
    Petanda ilmu sentiasa dijunjung
    PANTUN DI AKHIR MAJLIS
    Bunga dedap di atas para,
    Anak dusun pasang pelita;
    Kalau tersilap tutur bicara,
    Jemari disusun maaf dipinta.
    Pohon berangan tempat bertemu,
    Girangnya rasa si anak dara;
    Baliklah tuan membawa ilmu,
    Binalah bangsa bangunkan negara.
    Di atas dahan burung tempua,
    Melihat rusa tepi perigi;
    Salam perpisahan untuk semua,
    Dilain masa bersua lagi.
    Bunga seroja di atas para,
    Jatuh ditimpa buah berangan;
    Andai kata tersilap bicara,
    Kemaafan jua kami pohonkan.
    Dari Kedah ke pekan sari,
    Beli suasa di Kota Tinggi;
    Selesai sudah tugas diberi,
    Di lain masa bersua lagi.
    Akar keladi melilit selasih
    Selasih tumbuh di hujung taman
    Kalungan budi junjungan kasih
    Mesra kenangan sepanjang zaman
    Tenang-tenang air di kali
    Tempat mandian putra puteri
    Sempurna sudah majlis dirai
    Salah dan silap harap dimaafi
    Bersyukur kini kami panjatkan,
    Majlis anugerah telah disempurnakan,
    Sekalung penghargaan kami hulurkan,
    Segulung tahniah kami ucapkan….
    Merdu bertingkah alunan suara
    Kadang tak sedar tersilap kata
    Andai terlanjur patah bicara 
    Serendah hati kemaafan dipinta



    Credit To Yang Comel ; Cikgu Nurul

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here