PERNAH tak dengar jika kita mudahkan urusan orang lain, ALLAH akan mudahkan urusan kita?

Jika ya, Alhamdulillah. Betul, ia adalah salah satu Hadis riwayat Muslim yang berbunyi: “Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti ALLAH akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat”. Siapa tidak mahu urusan kita dipermudahkan oleh ALLAH SWT kan?

Jadi, semestinya kita perlu memudahkan urusan orang lain tidak kira apa sahaja kesulitan yang dihadapi yang dihadapi orang sekeliling kita.

Kita bantu apa yang kita mampu, selebihnya kita terus berdoa agar beban mereka dile-raikan. Insha-ALLAH.Dalam soal memudahkan urusan ibu bapa pula, kita harus membantu mereka bila-bila masa jika mereka perlukan pertolongan.

Jangan sesekali kita abaikan mereka kerana sejak kecil merekalah membantu kita yang serba kekurangan. Berkat sabar dan usaha mereka, kita hidup seperti sekarang selain rezeki yang telah tetapkan untuk setiap anak adam.

Ibu bapalah insan yang banyak berkorban demi membesarkan kita. Mereka perlu terjaga dari lena walaupun dibuai mimpi indah demi membancuh sebotol susu di malam hari, terjaga dek kerana anak merengek atau tidak selesa untuk tidur, kekadang terpaksa berjaga malam bila anak jatuh sakit, juga ada ibu bapa terpaksa berhutang demi membeli susu, lampin pakai buang anak-anak dan sebagainya.

Justeru, Islam sangat menggalakkan anak-anak tidak berkira tidak kira apa jua, sama ada khidmat, kudrat dan wang ringgit untuk diberikan kepada ibu bapa yang banyak berjasa kepada anak-anak demi membesarkan anak-anak.