Program Transisi Tahun Satu 2021 merupakan satu program yang dirangka untuk menyediakan murid menghadapi perubahan, menyesuaikan diri dan membina keyakinan diri mereka di sekolah rendah.

Program ini dirangka dengan mengambil kira kandungan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dengan penekanan terhadap aspek sosioemosi, kognitif dan fizikal murid.

Program ini diharapkan dapat membantu murid dari pelbagai latar belakang, pengalaman pembelajaran dan perkembangan sosioemosi untuk memulakan proses pembelajaran di Tahun Satu dan pencapaian yang hampir sama.

Objektif Program Transisi Tahun Satu 2021 ialah:

1. Menyesuaikan murid dengan keadaan dan persekitaran sekolah.

2. Membina hubungan antara murid dengan rakan sebaya dan guru.

3. Meningkatkan keyakinan murid dan membentuk sikap positif dalam interaksi sosial serta pembelajaran.

4. Menyediakan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk pembelajaran seterusnya.

Pandemik COVID19 telah memberi implikasi terhadap pembelajaran murid kerana kurikulum tidak dapat disampaikan secara bersemuka kepada murid pada semua peringkat persekolahan termasuk prasekolah.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Bagi memastikan murid bersedia menghadapi pendidikan pada peringkat sekolah rendah, Program Transisi Tahun Satu 2021 dibangunkan dengan mengambil kira kandungan kurikulum prasekolah yang terkesan dan kandungan kurikulum Tahun Satu. Program Transisi Tahun Satu 2021 dirangka dengan memberi penekanan terhadap aspek sosioemosi, kognitif dan fizikal murid bagi menyediakan mereka menghadapi perubahan, menyesuaikan diri dan membina keyakinan diri di sekolah rendah.

Program Transisi Tahun Satu 2021 ini diorganisasikan dalam tiga fasa iaitu Fasa Persediaan, Fasa Penyesuaian dan Fasa Kesediaan. Pelaksanaan ketiga tiga fasa ini memerlukan usaha dan pelibatan semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru dan ibu bapa/penjaga.

Bagi merealisasikan hasrat program ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan Kit Program Transisi Tahun Satu 2021 sebagai panduan dan rujukan kepada pihak yang berkepentingan. KPM merakamkan setinggitinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penghasilan kit ini.

Muat Turun Kit Program Transisi Tahun Satu 2021 di Telegram https://t.me/pendidik2u/4127

Semoga bermanfaat..