Kerajaan sedang mengkaji untuk menaik taraf status guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) termasuk dilantik ke jawatan tetap dalam usaha membela kebajikan golongan ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Fuziah Salleh berkata kajian itu dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai penyelaras program KAFA.

“Jakim sedang membuat satu kajian untuk menaik taraf status guru KAFA antaranya untuk dilantik menjadi penjawat tetap dalam perjawatan dan kita ingin pastikan kemahiran guru-guru KAFA ditingkatkan dengan diberi kursus-kursus bersesuaian,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengenai perancangan kerajaan dalam menaik taraf status kontrak guru KAFA di seluruh negara.

Fuziah berkata pada masa ini terdapat 31,460 guru KAFA dengan seramai 973,555 murid sedang mengikuti program KAFA serta 5,609 premis KAFA di seluruh negara.

Sumber: Malaysiakini

Untuk tidak terlepas info penting follow: telegram.me/pendidik2u
SILA KONGSIKAN KEPADA RAKAN-RAKAN DENGAN MENEKAN BUTANG DI BAWAH: