Anak merupakan harapan bagi kedua ibu-bapa, sememangnya ibu-bapa inginkan yang terbaik buat anaknya. Terdapat perbezaan antara murid di area bandar dan murid di kawasan kampung atau pedalaman. Perbezaan ini juga termasuklah perbezaan gaya hidup, sosial dan sosio ekonomi. Apa yang menarik untuk di perkatakan pada kali ini adalah ‘trend’ hantar anak ke sekolah cina atau dengan tepatnya SJKC.
Jika kita lihat di sekolah-sekolah area bandar, seperti di bahagian Kinta Utara atau lebih dikenali dengan Ipoh, kita boleh lihat terdapat banyak sekolah SJKC yang mempunyai pelajar Islam, ada yang dari keluarga kahwin campur Melayu dan Cina, ada juga yang Cina Muslim, dan tidak dinafikan juga ada dari keturunan melayu sendiri.
Jika ditanya murid-murid ini kenapa kamu bersekolah di SJKC, rata-rata memberi jawapan ibu-bapa mahu mereka mengusai Bahasa Cina. Terutamanya mereka yang dari keluarga campur, sudah pasti bapanya atau ibunya ingin anaknya dapat menguasai bahasa Mandarin dengan baik, dan tidak hilang begitu sahaja.
Bagaimana pendapat anda? adakah sesuai dan bagus sekolah cina ini?
Tidak dinafikan di SJKC mengamalkan undang-undang dan disiplin yang ketat, murid sentiasa dikawal dan perlu menjaga setiap tingkah laku agar tidak melanggar disiplin di sekolah. Di sekolah cina, kebiasaannya murid perlu hadir awal pagi, kerana amalan bacaan pagi boleh dikatakan diamalkan di setiap sekolah cina. Murid biasanya seawal 6.45 telah hadir ke sekolah, dan akan berada di kelas untuk membaca buku dan mengulangi pelajaran.
Adakah semua subjek diajar dalam Bahasa Cina?
Ya, semua subjek diajar dalam Bahasa Cina, kecuali Mata Pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam. walaubagaimanapun kadang-kadang subjek bukan teras seperti Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani diberikan kepada guru melayu dan menggunakan Bahasa Melayu.
Adakah murid melayu boleh berjaya jika dihantar ke sekolah cina?
Ada beberapa faktor yang menjadi pendorong kepada murid untuk berjaya, kemana pun ia dihantar perkara yang penting seperti rajin, usaha, fokus, disiplin tetap menjadi penguat dalam kebolehan murid untuk berjaya. Sebenarnya bercakap dalam bahasa Mandarin lebih mudah, tetapi yang susahnya adalah menulis bahasa Mandarin. Jika kita lihat murid melayu yang berada di tahun 2, mereka sudah boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan baik. Mereka juga dapat memahami setiap arahan yang telah diberikan oleh guru dalam bahasa tersebut. Jadi jika anda berhasrat untuk menghantar anak ke sekolah cina, anda pastikan dia dapat menguasai pertuturan bahasa seawal di tahun 3, jika dia masih tidak dapat bertutur ketika di darjah 3, adalah lebih baik dia dihantar ke sekolah kebangsaan.
Ini kerana dibimbangi ia akan menjejaskan subjek lain, seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris, walaubagaimanapun ini sekadar cadangan untuk ‘menyelamatkan’ anak anda sahaja. Jika anda yakin dengan keupayaan anak anda ia boleh terus berada di sekolah tersebut.
Kantin di SJKC boleh makan ke tidak?
Ini soalan yang selalu ditanya oleh penjaga dari kalangan murid Islam, sejujurnya hampir semua makanan yang dimasak di kantin sekolah bukanlah yang halal. Suka untuk ditegaskan disini bagilah bekal untuk anak anda, supaya makanan yang dimakan lebih terjamin halal. Kadang-kadang kesian melihat murid Islam yang terliur melihat rakan-rakan sedang makan dikantin, apabila ditanya, kenapa tidak makan, dia mengatakan tiada bekal disediakan. Sebaik-baiknya sebagai penjaga kita sedia maklum akan hal ini kerana anak-anak perlu mendapatkan tenaga untuk meneruskan aktiviti di sekolah.
Bagaimana memilih sekolah SJKC? Adakah Mata Pelajaran Pendidikan Islam di ajar di SJKC?
Sekiranya anda bercadang untuk menghantar anak di SJKC, perkara yang pertama yang disyorkan untuk anda tanya adalah pastikan di sekolah tersebut ada Guru Agama. Kebiasaanya pihak PPD akan menghantar seorang guru agama sama ada guru tetap ataupun guru beredar. Selepas peluasan jQAF dilaksanakan, terdapat banyak sekolah-sekolah SJKC dan SJKT ditempatkan guru tetap GPI/GPA atau jQAF bagi memastikan tiada murid Islam tertinggal dalam pelajaran Pendidikan Islam. Oleh yang demikian perkara yang perlu dipastikan seeloknya ada guru tetap di sekolah tersebut, dan bukan guru beredar. Kenapa jika guru beredar sahaja tidak menjadi pilihan? Seelok-eloknya biarlah anak kita ada dipantau oleh guru agama, kerana jika guru yang beredar mungkin hanya ada 1 hari dalam seminggu sahaja.
Apa lagi yang perlu jika hantar anak ke SJKC?
Jika hantar anak ke SJKC jangan lupa hantar anak ke Sekolah Agama Rakyat, kalau tidak hantar boleh tak? Perkara ini banyak ditegaskan oleh guru-guru agama di SJKC, merayu kepada ibu bapa hantarlah anak ke sekolah agama kerana pelajaran Pendidikan Islam di SJKC hanya diperuntukan 4 masa seminggu bagi tahap 1, dan 5 masa seminggu di tahap 2 (bagi KSSR). Ini tidak termasuk waktu tasmik yang diluar jadual waktu.
Memang jelas terdapat perbezaan murid yang bersekolah agama dan tidak bersekolah agama, jika kita benar-benar sayangkan anak kita, dan ingin mereka menjadi anak yang soleh jangan abaikan perkara ini. Suka untuk ditegaskan di sini ia ‘WAJIB’.
Selain daripada itu, terdapat juga perbezaan dalam beberapa sukatan Mata Pelajaran antara SK dan SJKC, seperti Bahasa Malaysia SK berbeza dengan Bahasa Malaysia di SJKC. Anda juga perlu tahu, di SJKC murid banyak diberikan latihan dan kerja rumah, jadi jangan terkejut jika mereka tidak mampu untuk menyiapkannya. apapun ia sebenarnya dapat membantu meningkatkan kemahiran mereka menjawab soalan dengan baik.
Akhir sekali, diharapkan panduan ini sedikit sebanyak dapat membantu memberi ilham kepada anda dalam memastikan anak anda dapat menikmati dunia pendidikan yang berkualiti dan mampu mendidik anak-anak anda menjadi seorang insan yang berguna di dunia dan akhirat.