Semakan semula keputusan UPSR 2016.
Memandangkan keputusan UPSR 2016 Format Baharu ini agak kurang memuaskan bagi sesetengah pihak terutamanya ibu bapa, dikongsikan di sini Cara Untuk Membuat Semakan Semula Keputusan UPSR. Cara untuk membuat permohonan adalah seperti di bawah:
PERATURAN PENTADBIRAN PERMOHONAN PENYEMAKAN SEMULA KEPUTUSAN PEPERIKSAAN
1. Permohonan penyemakan semula keputusan hendaklah dibuat dalam tempoh 30 dari tarikh keputusan diumumkan.
2. Permohonan hendaklah dibuat dengan menggunakan BorangPermohonan Penyemakan Semula Keputusan Peperiksaan / Kes T (LP/Am 65A). Permohonan yang tidak menggunakan borang ini atau tidak lengkap tidak akan diproses.
3. Borang Permohonan Penyemakan Semula Keputusan Peperiksaan / Kes T (LP/Am 65A) boleh didapati di sekolah, Sektor/Unit Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri, Kaunter Penyemakan Semula Keputusan Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Putrajaya atau melayari laman web Lembaga Peperiksaan http://lp.moe.gov.my (BORANG)
4. Permohonan Penyemakan Semula Keputusan Peperiksaan perlu disertakan dengan perkara berikut:
4.1 satu (1) salinan pernyataan keputusan peperiksaan UPSR (disahkan oleh Guru Besar / Pegawai Kerajaan Kumpulan A)
4.2 Wang Pos / Kiriman Wang / Bank Draf ditulis atas nama PENGARAH PEPERIKSAAN (sila rujuk No. 5 – Kadar Bayaran dan No. 6 – Kaedah Bayaran)
4.3 dua (2) sampul surat beralamat sendiri yang telah dilekatkan setem RM1.00.
5. Kadar bayaran penyemakan semula keputusan peperiksaan UPSR ialah RM50.00 bagi setiap mata pelajaran. Permohonan penyemakan semula keputusan Kes T tidak dikenakan bayaran.
6. Kaedah bayaran:
6.1 Permohonan melalui pos:
i. Pembayaran hendaklah menggunakan Wang Pos / Kiriman Wang / Bank Draf yang ditulis ditulis atas nama PENGARAH PEPERIKSAAN. Kokotkan Wang Pos / Kiriman Wang / Bank Draf pada Borang Permohonan Semak Semula / Kes T supaya tidak tercicir.
ii. Cek persendirian tidak diterima.
6.2 Permohonan melalui Kaunter Lembaga Peperiksaan:
i. Pembayaran boleh menggunakan Wang Pos / Kiriman Wang / Bank Draf yang ditulis ditulis atas nama PENGARAH PEPERIKSAAN. Pembayaran menggunakan wang tunai juga diterima.
ii. Cek persendirian tidak diterima.
7. Borang yang lengkap diisi hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat. Tulis perkataan “PENYEMAKAN SEMULA KEPUTUSAN UPSR 2016” pada sudut atas kiri sampul surat tersebut dan hantar kepada Pengarah Peperiksaan di alamat berikut:
Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia Aras 7, Blok E11, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62604 Putrajaya (u.p: Unit UPSR)
8. Borang permohonan yang diterima selepas 30 hari hari dari tarikh pengumuman rasmi keputusan UPSR tidak akan diproses.
9. Keputusan permohonan akan dimaklumkan dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh tutup permohonan.
10. Keputusan Penyemakan Semula Keputusan Peperiksaan / Kes T adalah muktamad dan akan dimaklumkan kepada calon melalui surat rasmi.