Rasanya, mungkin hampir semua ibubapa pernah mengalami situasi yang sama apabila bersama anak-anak iaitu “Lagi dilarang, lagi menjadi-jadi kerenah atau perangai anak-anak kita ini” atau “Lagi dilarang, lagi dibuat”.

Kadang-kadang jenuh juga memikirkan apakah pendekatan yang terbaik untuk menegur anak-anak ini. Tidak semua dan hampir mejoriti sebenarnya anak-anak bersikap sedemikian rupa.

Mengapa?

Menurut kajian, sifat anak-anak yang terlalu cenderung untuk ‘mengeksplorasi’ menyebabkan mereka sukar untuk dilarang. Semakin dilarang, semakin menjentik emosi perasaan ingin tahu mereka, apatah lagi ibubapa tidak menjelaskan sesuatu situasi itu dengan bahasa yang mudah diterima akal oleh anak-anak.

Harus diingat bahawa anak-anak mempunyai dunia egois mereka sehinggakan menurut kajian, terdapat pada suatu peringkat umur, mereka mempunyai tahap super ego mereka yang tersendiri!

Apabila ibubapa secara tidak sengaja memarahi seolah-olah mencabar kewibawaaan dan ego mereka, maka hal ini boleh menyebabkan mereka semakin berani berantagonis. Sebab itu, sering kali kita lihat perangai anak-anak yang mudah sahaja tantrum dihadapan kita mahupun dikhalayak ramai.

Pendekatan reverse psikologi adalah salah satu pendekatan psikologi secara terbalik. Tidak ramai yang faham tentang perkara ini sehingga rata-ratanya melihat reverse psikologi atau psikologi terbalik adalah suatu pendekatan yang sederhana.

Namun, secara tidak sedar ia adalah salah satu teknik yang telah diajarkan oleh Nabi s.a.w sejak dari dahulu lagi bagaimana meraikan anak-anak dan menyantuni mereka dengan bahasa yang penuh sopan dan hormat.

Psikologi terbalik menuntut kebijaksanaan ibubapa dalam berkomunikasi dengan anak-anak. Ia lebih cenderung kepada galakkan, puji-pujian, etika ibubapa ketika bercakap dengan anak-anak, reaksi mimik muka, sindiran lembut dan tindakan bersahaja.

Sekiranya dilarang atau ditegur dengan cara yang marah-marah dan ugutan, kebarangkalian anak ini akan mengulangi kesilapan yang sama di belakang ibubapa.

Mereka mungkin berhenti daripada melakukannya pada ketika itu sahaja kerana takut, tetapi bukan kerana hormat atau bukan kerana ingat pada nasihat yang diberikan oleh ibubapa. Ia lebih kepada takut sakit dirotan. Hal ini menghilangkan sifat jujur dan hormat anak-anak terhadap kita.

3 contoh situasi yang biasa berlaku dan 3 contoh teguran secara reverse psikologi seperti:

Situasi 1) Anak suka memanjat grille pintu rumah, pagar atau ditempat yang berbahaya.

Menegur dengan memberi galakan disamping ibubapa perlu memanipulasi keadaan tersebut dengan cara sindiran yang sinis tetapi bersahaja.

Contoh teguran secara reverse psikologi,


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


“Well done sayang… panjat lagi tinggi sampai atas langit, mengapa rendah sangat, tinggi lagi, nanti jika terjatuh, boleh merasa sakitnya luka” tunjukkan dengan mimik muka bersahaja dan tersenyum biasa.

Secara tidak lansung, komunikasi seperti itu menghantar mesej (touch points) kepada anak tentang jatuh, sakit dan luka.

Situasi 2) Anak sukar dengar cakap untuk pergi mandi.

Tegurlah dengan tenang, duduk dan santuni mereka, ibubapa harus bijak mencari helah dan muslihat. Fikirkan matlamat terakhir adalah ingin pastikan si anak itu mandi.

Contoh teguran secara reverse psikologi:

“ Dah alang-alang tak mandi, lebih baik kita kunci sahaja bilik air ini sebab tiada fungsi, biar tidak mandi terus sehingga 2-3 hari… badan pun boleh berbau dan menjadi hitam berdaki, tidak putih lagi.. cantik juga jika sekali sekala bertukar warna”

Secara tidak lansung sindiran seperti itu menghantar mesej (touch points) kepada anak tentang fungsi bilik air, badan akan berbau dan berdaki jika tidak mandi.

Situasi 3) Adik-beradik berebut permainan.

Hanya jauhari yang mengenal manikam, hanya ibubapa yang mengenal setiap sikap anak-anak mereka. Untuk situasi perebutan seperti itu, masing-masing tidak mahu mengalah, masing-masing tidak mahu kalah, semua hendak menang.

Jadi, hanya ibubapa yang tahu, siapa antara mereka yang mempunyai sikap toleransi yang lebih tinggi berbanding yang lain. Biasanya si abanglah, kerana mereka sudah besar dan boleh faham bahasa.

Jadi, duduklah bersama mereka didalam perebutan itu, peluk dan cium mereka. Kemudian jelaskan dengan tenang kepada si abang, bertapa bahagianya jika berkongsi.

Contoh teguran secara reverse psikologi kepada anak yang boleh bertoleransi:

“Terima kasih jadi anak mama yang aktif, mama bangga mempunyai anak seperi abang dan adik, sebab suka bermain bersama-sama. Ada orang yang suka berebut permainan dengan adik-beradiknya, habis permainannya rosak dan akhirnya ke tong sampah, terus tidak dapat bermain sampai bila-bila” senyum dan peluk anak itu.

Elemen sindiran yang di sampaikan adalah ‘suka bermain bersama-sama’ manakala mesej yang dihantar secara tidak lansung kepada anak adalah permainan akan rosak jika berebut.

Anak-anak ini sebenarnya faham pada waktu bila ibubapa sedang menegur dengan cara sindiran walaupun teguran itu nampak bersahaja tetapi kata-kata yang tajam walaupun berbaur lembut boleh menusuk ke hati dan sampai ke dalam jiwa dan fikiran mereka secara halus.

Jangan terkejut, di UK, kebanyakkan ibubapa disana menggunakan teknik reverse psikologi ini dalam menegur anak-anak bagi menghindari kenakalan anak-anak. Moga bermanfaat.