Tiada lautan yang tidak berombak. Begitu jugalah dengan kehidupan berkeluarga. Begitulah juga dengan ikatan suami isteri. Tidak dinafikan, kadang kala berlaku masalah antara suami isteri yang boleh membawa kepada pasangan merajuk. Walaupun selalunya merajuk dianggap sebagai sesuatu yang agak negatif, tetapi dalam masa yang sama ia merupakan salah satu bentuk menzahirkan kasih sayang antara pasangan suami dan isteri.
Bagi suami pula, apabila isteri merajuk, pastinya mereka akan berasa buntu memikirkan cara terbaik untuk memujuk isteri kesayangan mereka.
Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan bagi memujuk isteri yang sedang berjauh hati atau merajuk. Seseorang suami harus tahu untuk menggunakan pendekatan yang terbaik bagi menawan kembali hati isteri mereka.
Luahan Perasaan
Antara perkara pertama yang harus dilakukan ialah dengan memberi ruang dan peluang kepada isteri untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku di hati mereka atau apa yang membuatkan mereka berjauh hati dengan suami. Dengan cara ini, maka suami dapat memahami dan mengetahui perkara sebenar yang membuatkan isteri berperasaan begitu. Setelah isteri meluahkan segala isi hati mereka dan bertenang, maka suami boleh mula memberi penjelasan kepada isteri tentang apa yang telah diluahkan. Suami boleh menyatakan persetujuan dengan perkara yang diluahkan oleh pihak isteri dan menyatakan hasrat untuk berubah mengikut apa yang dikehendaki oleh pihak isteri. Suami harus menunjukkan pada isteri bahawa mereka serius untuk berubah mengikut apa yang telah dikatakan oleh pihak isteri.
Sentuhan
Selain itu, suami juga boleh memujuk isteri dengan cara menunjukkan kasih sayang melalui pelukan dan ciuman terhadap isteri. Ini dapat menenangkan perasaan isteri yang sedang merajuk dan membuatkan mereka lebih mudah menerima kata-kata pujukan daripada suami.
Penghargaan
Adakalanya isteri merajuk kerana terlalu penat dengan tanggungjawab dan kerja-kerja yang dilakukan dirumah. Selain itu, isteri juga mungkin merasakan seolah-oleh mereka tidak dihargai oleh para suami. Oleh itu, sebagai seorang suami, anda perlu mengambil langkah proaktif untuk mengubah persepi negatif ini.
Suami boleh memberikan penghargaan kepada isteri dalam dalam bentuk kata-kata sama ada melalui ucapan atau melalui kad cinta yang dikirimkan khusus buat isteri. Ini boleh mengembalikan memori bahagia kepada isteri dan sekaligus melembutkan hati mereka. Selain daripada kad, suami juga boleh memberikan hadiah berupa barangan lain kepada isteri seperti bunga atau barang-barang yang disukainya seperti baju, beg tangan atau emas.
Bantu Isteri
Di samping itu, suami juga boleh memujuk isteri dengan menunjukkan rasa tanggungjawab mereka terhadap keluarga dengan membantu isteri dengan kerja-kerja di rumah. Ini termasuklah menolong isteri untuk mengemaskan rumah, memasak, menjaga anak-anak, membasuh baju dan sebagainya. Ada isteri yang turut sama bekerja, dan ada juga yang menjadi suri rumah, suri rumah tidak bekerja? salah tu, biarpun suri rumah tetapi beliaulah yang membuat kerja, oleh itu apa salahnya anda turut membantunya. Sikap ringan tulang suami ini boleh membuatkan isteri merasa tenang dan gembira kerana suami sudi untuk membantunya di rumah dan sekaligus melembutkan hatinya daripada perasaan merajuk dan berjauh hati.
Mohon Maaf
Tidak kira siapa pun yang bersalah, cara terbaik untuk menjernihkan suasana adalah dengan meminta maaf. Seorang suami hendaklah membuang ego mereka dan jangan malu untuk memohon maaf. Dengan meminta maaf, hati isteri akan lebih tenang dan mungkin juga mengakui kesilapan yang mereka lakukan. Jadikan amalan untuk meminta maaf kepada pasangan sekiranya berlaku apa-apa salah faham kerana ini akan memberikan ruang untuk seseorang membuat penambahbaikan dalam diri mereka.
Buat Kejutan
Kejutan di sini bukanlah sesuatu yang menakutkan atau memalukan, tetapi sesuatu yang romantik dan menarik, sebagai contoh, buat Kad Explorace, ia akan menjadi permainan yang menyeronokkan. Selain itu, boleh juga buat kejutan seperti tutup mata isteri, dan bawanya ke tempat lain yang menarik, seperti tempat makan, tempat pemandangan cantik dan sebagainya.