SHANGHAI: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, akan bertemu dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi membincangkan cadangan melanjutkan umur persaraan penjawat awam. “Dalam masa terdekat saya akan bertemu dan berunding dengan CUEPACS, apa mereka cakap (cadangkan), semua boleh diselesaikan dalam mesyuarat.
“Sebelum ini, CUEPACS memohon dinaikkan umur persaraan dua tahun (60 kepada 62 tahun), tetapi ia akan menyebabkan tiada orang bersara dalam tempoh dua tahun. Jadi, kekosongan jawatan akibat persaraan penjawat awam tidak berlaku untuk dua tahun,” katanya. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Johor Corporation (JCorp) berkata demikian kepada BH ketika ditemui selepas mengikuti misi pelaburan dan perdagangan Johor ke Shanghai, hari ini.
Ali berkata, beberapa perkara perlu diteliti dan dibincangkan bersama CUEPACS. Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata kerajaan tidak bercadang menaikkan umur bersara wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun seperti dilaporkan beberapa portal media Rohani berkata, kerajaan sentiasa bersifat terbuka dalam menerima cadangan dan pandangan orang ramai berkaitan usia persaraan yang bersesuaian.
Sebelum ini, umur persaraan penjawat awam di negara ini dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001; daripada 56 tahun kepada 58 tahun pada 2008; dan daripada 58 tahun kepada 60 tahun pada 2012. Umur persaraan kakitangan awam di negara maju seperti Singapura, negara Eropah dan Amerika Syarikat adalah 65 tahun.
Berita Harian 15 April 2017: BHARIAN









