KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim dijangka membuat satu pengumuman yang signifikan mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang akan diadakan pada hari Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin, pengumuman ini dijangka mendapat sambutan hangat, terutama sekali dalam kalangan kakitangan awam.
Pendaftaran: https://www.iemg.intan.my/event/qe33Hik5xrFdLIeN
Haniff menekankan bahawa MAPPA ke-19 akan menjadi platform penting bagi Perdana Menteri untuk menyampaikan amanat atau pengumuman dasar kerajaan. Majlis ini kembali dianjurkan setelah kali terakhir diadakan pada tahun 2022.
“Kali ini, ramai yang pasti ternanti-nanti mengenai dasar kerajaan MADANI yang akan dibentangkan di MAPPA. Kali ini agak menarik kerana terdapat kemungkinan besar pengumuman penting berkaitan SSPA dan prinsip-prinsip yang perlu dilaksanakan oleh penjawat awam,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.
“Kita menjangkakan sekitar 7,000 penjawat awam akan hadir untuk mendengar sendiri apa yang ingin disampaikan oleh Perdana Menteri. Bagi mereka yang tidak dapat hadir, mereka boleh mengikuti siaran langsung melalui pelbagai platform termasuk media sosial,” katanya.
Berkenaan dengan tema Perkhidmatan Awam MADANI yang dibawa dalam MAPPA kali ini, Haniff menyatakan bahawa sebanyak 32 reruai akan dibuka oleh agensi-agensi dan kementerian untuk memberikan perkhidmatan terus kepada kakitangan awam serta orang awam yang hadir.
Haniff juga menambah bahawa kemudahan parkir di sekitar PICC akan disediakan dan perkhidmatan bas shuttle akan disediakan untuk memudahkan para hadirin.