Setelah perubahan yang berlaku dalam landskap politik Malaysia, perubahan pentadbiran Kerajaan Pusat, maka sudah pastilah ia juga turut berlaku dalam dasar-dasar utama pendidikan.

Hasil tinjauan daripada kalangan guru-guru mengharapkan dasar-dasar yang hendak diubah atau dibuat hendaklah mengambil kira pandangan dan pendapat dari bawah, iaitu guru sebagai pelaksana. Perubahan beberapa dasar yang sedang berjalan mungkin sedikit sebanyak memberi kesan besar kepada dunia pendidikan.

Buat masa ini, Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir masih lagi belum menyebut siapa yang akan memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan. Bagi guru sudah pastilah perkara ini menjadi sebutan, pelbagai nama Ahli Parlimen disebut sebagai calon yang dikatakan layak, termasuklah Ahli Parlimen Permatang Pauh, YB Nurul Izzah.

Perkara apakah yang diharapkan oleh guru-guru dalam kepimpinan baru ini? Mungkin perkara ini boleh diambil berat oleh mereka yang bakal meneraju Kementerian Pendidikan nanti.

Beban Tugas Guru
Ya, perkara ini sudah diperkatakan sejak dahulu lagi, sudah berapa banyak kajian dibuat, namun makin lama makin bertambah, bukan berkurang. Antara perkara yang selalu disebut adalah kerja-kerja pengkeranian, hiasan sekolah, landskap sekolah.

Bekerja Hari Sabtu
Kenapa perkara ini disenaraikan di sini? Kalau anda seorang guru sudah pasti memahaminya. Guru di antara pekerja kerajaan yang datang pada hari cuti untuk bekerja tanpa bayaran. Sabtu sebenarnya hari bersama keluarga, hidup bukan semata-mata untuk kerja, guru juga ada keluarga.

Isu Pertukaran Guru
Pertukaran guru boleh dikatakan perkara yang wajib disenaraikan di sini. Kita mahukan masalah pertukaran guru ini dapat diselesaikan dan menjadi antara salah satu perkara utama yang akan disemak oleh Menteri Pendidikan. Pelbagai masalah yang mereka alami, duka lara, masalah kesihatan, masalah kemurungan dan sebagainya.

Bantuan Bahan Bantu Mengajar
Tahukah anda, guru terpaksa mengeluarkan wang ringgit sendiri, semata-mata untuk memastikan murid dapat belajar dengan gembira dan seiring dengan teknologi semasa. Sebutlah barang apa yang cikgu tak beli? Printer, Projektor, Laptop, Speaker, Bahan-bahan untuk buat BBM dan sebagainya. Kita bukan nak pertikaikan, bahkan memang guru-guru ini sanggup habiskan duit mereka untuk mencapai kepuasan dalam mengajar. Selain BBM, guru juga mengeluarkan duit sendiri untuk menghias kelas, bilik-bilik khas, persekitaran sekolah dan sebagainya.

Bebas Pengaruh Politik
Apabila kita menyebut perubahan, maka wajarlah perkara ini disenaraikan, kita mahukan orang-orang yang menjadi Pegawai Atasan ini bebas dari pengaruh politik. Berapa banyak guru diugut, ditukarkan, dinafikan kenaikan pangkat kerana berbeza pandangan politik. Berubahlah kita sudah 2018.

Akta Perlindungan Guru
Perkara ini sebenarnya pernah disebut sebelum ini, harapan kita ia benar-benar dilaksanakan, kita tidak mahu masyarakat mengmbil kesempatan untuk mendakwa guru, guru tidak dilindungi, terpaksa naik turun mahkamah dan sebagainya.

Menyemak Semula Program / Modul / Aplikasi
Perkara ini perlu dibuat sekiranya Kementerian Pendidikan mahu memastikan tugas guru untuk fokus kepada PdPc tidak terganggu. SKPMG2, LINUS, Frog Vle, KBAT, MBMMBI, dan sebagainya perlu disemak atau ditambah baik dengan turun ke bawah berjumpa dengan guru-guru untuk melihat sendiri apakah keberkesanan penggunaanya.

Jadikan Pendidikan Islam dan Moral Sebagai Subjek Terpenting
Amatlah tidak wajar jika perkara ini tidak disenaraikan di sini, kita sudah berada di tahun 2018, tahap akhlak dan sahsiah pelajar kini ditahap membimbangkan. Apakah kita mahukan perkara ini dipandang remeh? Kita mahu lahirkan generasi yang berakhlak mulia, tahu halal dan haram, tahu dosa dan pahala, barulah seimbang dunia dan akhirat.

Cukuplah disenaraikan 8 dahulu perkara yang perlu diambil perhatian, jika disenaraikan semua mungkin terlalu banyak. 8 ini pun sebenarnya sudah digabungkan merangkumi segala sudut, apa yang paling penting adalah perubahan itu harus berlaku ke arah lebih baik.

Jika anda rasakan betapa pentingnya perkara ini, maka bantulah sesama kita untuk ‘share’ artikel ini.

Untuk tidak terlepas info penting follow: telegram.me/pendidik2u