PUTRAJAYA: Murid boleh memakai pakaian seragam sekolah selama dua hari seminggu, pakaian sukan selama dua hari dan pakaian kokurikulum selama sehari bermula penggal persekolahan baharu untuk sesi yang berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) telah menetapkan garis panduan pemakaian baharu untuk murid bagi sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula pada bulan Mac ini.
“KPM memutuskan bagi sesi 2024/2025 bermula Mac ini, selepas sesi libat urus dilaksanakan dengan semua pihak berkaitan termasuk pemegang taruh, maka pakaian seragam di sekolah sesi 2024/2025 diteruskan seperti berikut.
“Dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat 2024 KPM di sini, hari ini.