Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 ini merupakan dokumen yang telah dikemas kini berdasarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma
Baharu 2.0 yang telah dikeluarkan pada 9 Februari 2021.

Garis panduan ini disediakan dengan mengambil kira Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai langkah persediaan untuk pembukaan sekolah secara bersemuka. Aspek penting yang diberi perhatian adalah keselamatan dan kesihatan warga sekolah serta persekitaran sekolah yang selamat.

Garis panduan ini disediakan sebagai rujukan kepada pegawai bahagian di Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan
pentadbir serta guru di sekolah dalam mengawal penularan jangkitan penyakit Coronavirus Disease
2019 (COVID-19).

Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan surat pekeliling ikhtisas, surat siaran, arahan dan peraturan berkaitan yang sedang berkuat kuasa serta yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Garis panduan ini terpakai kepada semua sekolah rendah dan sekolah menengah termasuk
prasekolah, kolej vokasional dan kolej tingkatan enam bawah KPM dan institusi pendidikan swasta
yang berdaftar dengan KPM.

Institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan merujuk garis panduan ini.

Garis panduan ini disediakan berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang dikeluarkan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Objektif garis panduan ini adalah untuk memastikan:

  • pengurusan sekolah dan asrama dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar;
  • persekitaran sekolah yang selamat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid sepanjang mereka berada di sekolah dan asrama;
  • proses PdP dilaksanakan dalam keadaan selamat;
    dan
  • pentaksiran pusat dan peperiksaan awam dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar.

Vaksinasi Guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dan Pekerja Perkhidmatan Sokongan

Vaksinasi merupakan salah satu cara terbaik untuk melindungi masyarakat daripada jangkitan COVID-19. Sejajar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan PPN, KPM sentiasa berusaha untuk memastikan seluruh warga sekolah mengambil vaksin bagi mewujudkan kelompok komuniti sekolah yang selamat dan sihat.

Guru, AKP dan Pekerja Perkhidmatan Sokongan yang Belum Menerima Vaksin Lengkap dan Menolak Vaksin

Guru dan AKP yang masih belum menerima vaksin lengkap atau tidak mengambil vaksin perlu hadir ke sekolah dan memastikan:

i. garis panduan dan arahan yang dikeluarkan oleh KPM dipatuhi;
ii. sentiasa memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka;
iii. tidak dibenarkan melaksanakan PdP secara bersemuka; dan
iv. tidak berada di bilik/kawasan yang sama dengan murid atau warga sekolah yang telah
menerima vaksin lengkap.

Pihak penyedia perkhidmatan sokongan perlu memastikan hanya pekerja yang telah menerima
vaksin lengkap bertugas di sekolah.

Pengawalan dan Penyuraian Murid di Pintu Pagar Sekolah

Waktu/Masa hadir dan balik murid boleh dilaksanakan secara berperingkat setelah mendapat kelulusan pendaftar negeri.

Bagi mengelakkan kesesakan, pihak sekolah boleh mengurus pergerakan keluar masuk murid berdasarkan model berikut:

i. Model 1: Ruang menunggu di dalam kawasan sekolah;
ii. Model 2: Laluan terarah dan sehala;
iii. Model 3: Kawalan keberadaan murid oleh Polis/RELA/ PBT/ PIBG/ Alumni/ PIBK/ KSIB/
Sukarelawan (Ibu bapa dan Komuniti);
iv. Model 4: Penyuraian murid secara berperingkat; dan
v. Model 5: Menunggu di dalam bilik darjah (sistem panggilan).

Penggabungan model boleh dilaksanakan mengikut situasi dan kesesuaian sekolah.

Penutupan Sekolah bagi Kes Positif COVID-19

  • Sekolah yang disahkan mempunyai kes positif COVID-19 perlu memaklumkan dengan segera
    kepada PKD, PPD dan JPN.
  • Membantu PKD menjalankan penilaian risiko dan mengenal pasti kontak rapat.
  • Menerima nasihat dan arahan PKD berhubung penutupan sekolah.
  • Memaklumkan penutupan/pembukaan semula sekolah kepada ibu bapa/penjaga, PPD dan JPN.
  • Meletakkan notis penutupan dan tarikh pembukaan semula sekolah di pintu masuk utama sekolah.

Garis Panduan Lengkap boleh dimuat turun di bawah:

GARIS PANDUAN PENGURUSAN DAN PENGOPERASIAN SEKOLAH 3.0