Semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk yang dilantik secara kontrak, akan menerima bayaran insentif awal sebanyak RM2,000 daripada Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam pada 23 Februari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan perkara ini ketika berucap di majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
“Selain itu, RM1,000 juga akan diberikan kepada semua jawatan utama sektor awam yang melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan semua anggota beruniform.
“Juga, RM1,000 akan diberikan kepada semua pesara kerajaan, termasuk veteran yang berpencen dan yang tidak berpencen,” katanya