Selama ini guru perlu menanggung sendiri jika berlaku kemalangan atau kecuaian ketika sesi pengajaran yang melibatkan kecederaan kepada pelajar, atau sehingga menyebabkan kematian. Jika dibantu pun mungkin dari pihak NUTP, dan inisiatif sekolah sendiri. Tetapi belum ada akta lagi yang memberi perlindungan kepada guru. Berikut merupakan berita berkenaan cadangan penggubalan Akta Perlindungan Guru dari Utusan Malaysia.
BAGAN DATOH 6 Ogos Kementerian Pendidikan diminta meneliti cadangan penggubalan Akta Perlindungan Guru bagi melindungi golongan pendidik ketika bertugas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan tersebut adalah bagi memberi perlindungan terhadap golongan berkenaan dalam menghadapi situasi tugas mendidik yang kian mencabar ketika ini.
“Saya akan minta Kementerian Pendidikan supaya meneliti usul itu dahulu sebelum dibawa ke Kabinet. Ia amat penting digubal untuk melindungi guru,” kata Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapan penggulungan dalam persidangan perwakilan UMNO bahagian itu yang dirasmikan Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh, Datuk Khairuddin Termizi.
Usul bagi penggubalan akta itu merupakan antara usul yang diluluskan mesyuarat selepas dicadang oleh seorang perwakilan daripada Wanita UMNO Bagan Datoh, Zalilawati Majidah.
Sementara itu, Zalilawati ketika membentangkan usul itu berkata, akta berkenaan amat perlu digubal bagi melindungi guru daripada diserang, diugut dan diancam oleh pelajar serta ibu bapa ketika menjalankan tugas rasmi.
“Akta itu juga bagi memberi perlindungan dan pembelaan kepada guru sekiranya terlibat dalam sebarang kes semasa menjalankan tugas rasmi atau tidak rasmi dalam kawasan sekolah atau di luar sekolah,” katanya.
Diharap perkara ini disegerakan dan diteliti sebaiknya, kerana guru adalah pekerjaan yang melibatkan komunikasi dengan pelajar, pengurusan manusia, sebagai contoh jika berlaku kemalangan ketika sesi Pdp, kemalangan jika membawa murid untuk menyertai pertandingan di luar sedangkan membawa kereta sendiri, kecederaan jika murid bergaduh atau sedang bermain. Guru juga berhadapan dengan penjaga yang mungkin menyerang atau mengugut untuk mencederakan dan sebagainaya sebagainya perlu di lihat dengan mendalam.