Pada zaman sekarang, teknologi telah menjadi suatu keperluan untuk membantu menguruskan hal-hal melibatkan pelbagai cabang seperti kewangan. Oleh kerana teknologi semakin canggih, terdapat  segelintir manusia yang cuba mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan secara haram dengan melakukan penipuan dengan pelbagai cara. Antara penipuan-penipuan yang cuba dilakukan oleh scammers adalah seperti ;

Menawarkan pinjaman wang melalui panggilan telefon

Modus operandi scammers melalui phone ini adalah menawarkan pinjaman kewangan terutama kepada mereka yang terdesak. Mereka akan memujuk orang awam yang terdesak untuk mengambil pinjaman daripada mereka.

Cara mereka mengambil wang adalah dengan mengelirukan bakal mangsa untuk membuat transaksi online ke akaun mereka untuk mengaktifkan atau meluluskan pinjaman kewangan yang dibuat.

Mereka menjanjikan urusan pinjaman wang akan dipercepatkan setelah mangsa melakukan pindahan wang ke akaun mereka. Berhati-hatilah. Jangan sampai kesempitan kita diambil peluang oleh orang lain.

Mengumpul data peribadi melalui fake link/website (phishing)

Penjenayah siber cuba mendapatkan maklumat sulit daripada pelayan internet dengan menggunakan laman web palsu yang seakan akan sama dengan laman web sebenar.

Apabila pengguna melayari laman web ini, jika mereka tidak sedar bahawa alamat laman web yang dilayari adalah berbeza dengan laman web asal, maka mereka akan mengisi maklumat sulit seperti email, no akaun bank, kata laluan dan lain-lain data peribadi yang mungkin boleh digunakan oleh penjenayah siber untuk mengakses akaun bank mereka dan sebagainya.

Mangsa selalu tertipu apabila menerima emel, mangsa menyangka itu emel dari bank, kerana menggunakan nama sesuatu Bank di ruangan Sender. Untuk mengelakkan anda tertipu anda perlu semak email penuh penghantar, jangan hanya rujuk pada tajuk sahaja.

Oleh itu, amat penting untuk kita sebagai pelayar internet sentiasa memastikan bahawa laman web yang ingin dilayari adalah tepat.

Ugutan menggunakan nama jabatan kerajaan – Sindiket dalam dan luar negara

Sebahagian orang awam juga kerap kali mendapat panggilan kononnya wakil daripada mana-mana jabatan kerajaan. Sindiket seperti ini akan menyamar sebagai pegawai kerajaan seperti pegawai polis, pegawai di mahkamah dan sebagainya untuk menakutkan penerima panggilan.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Daripada maklumat yang mereka ada, mereka akan mengugut dengan cara seperti mengatakan bahawa akaun bank kita telah dibekukan atau kita disyaki terlibat dengan apa-apa jenayah. Untuk melepaskan diri dari tuduhan ini, mereka akan mempengaruhi bakal mangsa untuk melakukan pembayaran atau pindahan wang ke akaun tertentu.

Golongan yang berusia seringkali menerima panggilan seperti ini dan tidak mustahil ramai yang tertipu dengan taktik sebegini.

Harus diingat, apa sahaja urusan berkaitan dengan jabatan penting kerajaan seperti urusan di mahkamah, perlu dibuat secara bersurat dan berhadapan di premis kerajaan sekiranya melibatkan wang. Pastikan kita tidak mudah terjerat dengan mainan psikologi mereka.

Menyamar Melalui Whatsapp

Kes penyamaran melalui whatsapp kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Bagaimana scammer ini melakukannya? Scammer akan melihat kita di facebook, dan akan mengambil gambar kita untuk dijadikan profile photo di Whatsapp.

Kemudian mereka akan dapatkan no telefon kawan kita yang ada friend dengan kita. Scammer akan hantar Whatsapp ke rakan kita dan menyamar sebagai kita, di situ dia akan bagitahu nak pinjam duit atau tolong bayarkan sesuatu ke akaun bank yang tidak dikenali.

Mangsa akan terpedaya apabila melihat profile picture gambar kita, tetapi menggunakan no telefon berbeza. Mangsa yang teliti akan tanya , eh dah guna no lain ke? Scammer mungkin akan balas ini nombor satu lagi, atau ni nombor baru.

Kemudian akan bagitahu tolong transfer ke akaun sekian-sekian, nanti akan bayar balik katanya. Jika mangsa tidak berhati-hati dan membuat semakan pasti akan tertipu dengan teknik ini.

Untuk mengelakkan hal-hal tidak diingini berlaku, kita perlu mengurangkan risiko kebocoron maklumat penting dengan cara tidak berkongsi maklumat/data berkaitan diri dengan sewenang wenangnya kepada sesiapa sahaja.

Sentiasa juga untuk pastikan kita sentiasa cakna dengan taktik penipuan terbaru dengan cara banyakkan membaca dan mengkaji berkenaan penipuan-penipuan atas talian.

Sentiasa berwaspada dan jangan cepat panik jika anda dituduh atas tuduhan yang anda tidak pasti ke atas diri anda. Semoga tips kali ini membantu anda untuk mengelakaan diri daripada menjadi mangsa para scammers di luar sana.