Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan bahawa sekolah-sekolah yang berada di kawasan Klang ditutup kerana telah menjadi kawasan Zon Merah. Berikut adalah kenyataan Menteri Pendidikan dari Facebook Rasmi beliau.

Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak tentang keperluan untuk menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan COVID-19. Saya menghargai segala saranan yang diberikan. Saya sedar kegusaran dan kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah. Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah di seluruh negara.

Sebarang keputusan yang dibuat oleh KPM adalah berdasarkan penelitian yang mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mungkin ada yang melihat dalam keadaan tertentu kami seolah-olah lambat membuat keputusan. Hakikatnya tidak begitu. Tiada siapa di dunia ini berpengalaman menangani krisis COVID-19. Ianya tidak pernah berlaku. Namun, kita telah mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini apakah pendekatan yang sesuai dalam suasana dan keadaan tertentu.

Alhamdulillah, pengalaman mengajar kita untuk membuat sesuatu dengan lebih baik. Menaungi lebih lima juta orang murid sekolah, pelajar Matrikulasi dan IPG, lebih 500,000 orang guru, pensyarah dan kakitangan, serta lebih 10,000 buah sekolah memerlukan pendekatan yang cermat. Kita belajar bahawa ketelitian adalah amat penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu. Sejak PKP mula dilaksanakan, walaupun terdapat kekurangan di sana sini, secara keseluruhannya pengoperasian institusi pendidikan dibawah KPM di sepanjang tempoh ini berjalan dengan baik. Terima kasih saya ucapkan kepada semua ibu bapa, guru, murid, PIBG, warga sekolah dan warga KPM secara keseluruhannya.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


YAB Perdana Menteri di dalam perutusan khas beliau pada 6 Oktober 2020 menyatakan bahawa kerajaan akan menutup sekolah di kawasan zon merah di seluruh negara. Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, KPM akan terlebih dahulu mendapatkan pengesahan kawasan zon merah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mengumumkan penutupan sekolah di kawasan tersebut.

Hari ini KPM mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan Klang, Selangor serta di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah adalah kawasan zon merah. Sehubungan itu, petang tadi KPM telah mengumumkan bahawa sekolah di kawasan tersebut akan ditutup bermula esok 8 Oktober 2020 sehingga 23 Oktober 2020.

Sepertimana yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau semalam, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara, jika perlu, akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 setelah menerima nasihat daripada KKM.

Bersama-samalah kita bekerjasama rapat dalam menangani cabaran ini. InsyaAllah, kami di KPM akan terus komited untuk melakukan yang terbaik.

SENARAI SEKOLAH YANG DITUTUP DI ZON MERAH SELURUH NEGARA.

Untuk makluman senarai sekolah ini dikemaskini dari semasa ke semasa dan boleh di muat turun melalui Portal KPM.

KM_SENARAI SEKOLAH YANG DITUTUP DI ZON MERAH SELURUH NEGARA_07102020

Klik pautan berikut:-

https://www.moe.gov.my/pemberitahuan/kenyataan-media/km-senarai-sekolah-yang-ditutup-di-zon-merah-seluruh-negara

atau

http://bit.ly/km-senarai-sekolah-tutup