CUEPACS menggesa penjawat awam untuk mendaftar ke dalam PADU secepat mungkin.
Menurut Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat, penjawat awam harus menunjukkan teladan kepada rakyat dengan menyokong program PADU yang merupakan aspirasi kerajaan.
Beliau berkata, CUEPACS percaya pendaftaran PADU akan naik secara mendadak, jika lebih kurang 1.7 juta penjawat awam sekarang ini bertanggungjawab untuk mendaftar lebih awal.
“Difahamkan ketika ini jumlah pendaftaran baru sahaja mencecah satu juta beberapa hari lalu.
“Justeru, penjawat harus perlu menjadi contoh dan mereka harus mendahului dalam seruan inisiatif kerajaan mendaftar PADU,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, ketua jabatan harus bertanggungjawab untuk memastikan semua kakitangan mereka mendaftar dan mengulangi proses itu secara berkala.
Oleh itu, beliau berkata, CUEPACS bersama semua kesatuan sekerja yang bergabung akan berperanan proaktif untuk memastikan penjawat awam mendapat maklumat yang betul.
“Pengumpulan data-data penjawat awam ini amat penting bagi membolehkan kerajaan menilai kemampuan sebenar kewangan penjawat awam yang akan menjadi sebagai satu justifikasi bagi peningkatan gaji yang dicadangkan oleh CUEPACS.
Sokongan daripada semua pegawai awam untuk segera mengambil tindakan mendaftar sistem PADU wajar dijadikan sebagai salah satu agenda utama dalam semua organisasi sektor awam pada awal tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, tujuan utama PADU adalah untuk menjadikannya sebagai pangkalan data sosio ekonomi negara yang terpadu dengan mengumpulkan data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberikan gambaran yang adil tentang kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.
Beliau menjelaskan, hasil daripada PADU ini akan digunakan sebagai rujukan oleh kerajaan untuk menyalurkan bantuan dan subsidi kerajaan agar setiap kebocoran dapat dicegah.