Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Perutusan Khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 11 Januari 2021 mengenai
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Berdasarkan pengumuman YAB Perdana Menteri serta Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM adalah tertakluk kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sesuatu kawasan.

Kenyataan Media Pengoperasian Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (1)

Institusi Pendidikan di kawasan PKP Bagi sekolah di kawasan PKP, sesi persekolahan secara bersemuka hanya
akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama
Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari 2021. Surat
kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama.

Selain itu, semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah di kawasan PKP akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021.

Ketetapan ini juga terpakai kepada murid Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional. Bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan 1, calon berdaftar yang masih belum menduduki pentaksiran ini akan mengikuti pentaksiran di antara 20 hingga 29 Januari 2021.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Sementara itu, bagi kemasukan ke Tingkatan 4 pula, pentaksiran akan diadakan di antara 15 hingga 25 Februari 2021. Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh KPM
bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran yang ditetapkan. Bagi tujuan pengoperasian sekolah, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari 2021.

Guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020
dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah.

Pelajar Kolej Matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid. Bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan
pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam talian mulai 17 Januari 2021.

Di samping itu, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka. Institusi Pendidikan di kawasan PKPB dan PKPP

Bagi kawasan PKPB dan PKPP, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.

KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah dibawah Kerajaan Negeri.

KPM akan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu, Garis
Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu serta Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pemantauan pengoperasian institusi pendidikan akan dilaksanakan secara
berterusan bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua warga institusi pendidikan sentiasa diutamakan.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
11 JANUARI 2021