PANDUAN DALAM PENGURUSAN KEMASUKAN KE SEKOLAH BAGI SESI PERSEKOLAHAN 2021

1. Pematuhan SOP Umum

a. Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 mesti dipatuhi.

b. Aspek keselamatan murid, guru dan warga sekolah apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah perlu diberikan keutamaan.

c. Pentadbir Sekolah memastikan murid/pelajar, guru dan warga sekolah yang hadir ke sekolah berada dalam keadaan sihat dan selamat.

• Mereka yang berada dalam keadaan sihat sahaja hadir ke sekolah.

• Melaksanakan saringan suhu di pintu masuk ke sekolah.

• Jika mempunyai suhu badan melebihi 37.5°C atau bergejala tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

• Memakai pelitup separuh muka sepanjang tempoh berada di sekolah.

• Memastikan saringan gejala COVID-19 dijalankan.

d. Guru melaksanakan PdP yang bersesuaian dengan kesediaan murid/pelajar dan situasi semasa.

• Merancang pelbagai kaedah penyampaian PdP yang bersesuaian. Kaedah PdP yang boleh diterokai adalah seperti pembelajaran teradun (Blended Learning).

• Merancang dan melaksanakan aktiviti PdP termasuk PdP di luar bilik darjah dengan mengambil kira penjarakan fizikal, kebersihan dan keselamatan.

• Memastikan semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka dilaksanakan dengan mematuhi penjarakan fizikal, kebersihan dan keselamatan (bergantung kepada arahan semasa).

e. Ibu Bapa/Penjaga perlu memastikan anak/anak jagaan berada dalam keadaan sihat, menjaga kebersihan diri dan tidak menunjukkan gejala awal COVID-19 sebelum hadir ke sekolah.

• Memastikan anak/anak jagaan sentiasa memakai pelitup separuh muka semasa di sekolah.

• Mengingatkan anak/anak jagaan berkenaan penjarakan fizikal dan kebersihan semasa di sekolah.

• Memantau tahap kesihatan anak/anak jagaan, dan memaklumkan kepada sekolah sekiranya bergejala serta mendapatkan konsultasi kesihatan.

• Tidak menghantar anak/anak jagaan ke sekolah sekiranya bergejala.

f. Pihak sekolah perlu memastikan PdP yang dilaksanakan mengambil kira penjarakan fizikal, kebersihan dan keselamatan.

• Memastikan kawasan dan bangunan sekolah termasuk semua bilik PdP dibersihkan.

• Memastikan susun atur di bilik PdP mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter;

• Memastikan bilangan maksimum murid/pelajar di dalam bilik PdP bersesuaian dengan kapasiti bilik dengan mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter.

• Memastikan pengudaraan dan pencahayaan yang mencukupi bagi setiap bilik PdP, bilik guru dan pejabat.

• Menyediakan tong sampah bertutup dan dipastikan sentiasa ditutup.

• Menyediakan pensanitasi tangan di bilik PdP.

• Mempamerkan bahan bercetak mengenai langkah kebersihan dan keselamatan di lokasi strategik.

• Meletakkan notis peringatan langkah-langkah pencegahan COVID-19 di pintu masuk utama sekolah.

g. SOP yang lengkap, sila rujuk Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 h. Pemantauan yang ketat perlu dilakukan oleh Bahagian-bahagian KPM, JPN dan PPD.

2. Penyediaan Keperluan Pencegahan Penularan COVID-19

a. Pihak sekolah mesti menyediakan dengan lengkap pengimbas suhu badan, pensanitasi tangan, pelitup separuh muka dan sabun/cecair pencuci secukupnya.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


b. Penggantian pengimbas suhu badan yang rosak dilakukan dengan membeli standing thermometer.

c. Peruntukan PCG, SUWA dan pindah peruntukan boleh dilakukan. Penggunaan peruntukan wang ini perlu dimaklumkan kepada PPD, JPN dan Bahagian Kewangan KPM.

3. Waktu Mendaftar Anak Secara Berperingkat Bagi Murid Tahun Satu

a. Pihak sekolah mesti merancang dengan teliti waktu pendaftaran murid Tahun 1 dilakukan secara berperingkat.

b. Pemeringkatan ini bergantung kepada bilangan murid Tahun 1 yang akan mendaftar.

c. Selang masa setiap 30 minit bagi kumpulan murid (dua hingga tiga kelas bagi setiap kumpulan) boleh dijadikan sebagai panduan dalam kaedah ini.

d. Ibu bapa hanya menghantar anak hingga ke pintu utama sekolah.

e. Guru akan mengiringi murid masuk ke kelas.

f. Kehadiran murid secara berperingkat ini dilaksanakan selama tiga hari.

g. Komunikasi awal mesti dilakukan oleh pihak sekolah dengan ibu bapa/penjaga.

4. Pengutipan Sumbangan PIBG, Bayaran dan Dokumen serta Pengisian Borang Bagi Murid Tahun Satu

a. Pihak sekolah tidak dibenarkan mengutip sumbangan PIBG dan pelbagai bayaran semasa mendaftar murid Tahun 1.

b. Pengutipan yuran dan pelbagai bayaran boleh dilakukan dengan kaedah yang paling sesuai atas persetujuan pihak sekolah dan ibu bapa/penjaga.

c. Penyerahan salinan dokumen murid boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah mengikut kesesuaian.

d. Pengisian pelbagai borang boleh dijalankan selepas hari ketiga persekolahan murid Tahun 1.

e. Komunikasi awal mesti dilakukan oleh pihak sekolah dengan ibu bapa/penjaga.

5. Kelonggaran Pemakaian Pakaian Seragam Sekolah

a. Kelonggaran pemakaian pakaian seragam sekolah adalah seperti Kenyataan Media KPM yang dikeluarkan pada 24 Februari 2021.

b. Kelonggaran ini diberikan bermula pada 1 Mac 2021 hingga 26 Mac 2021.

c. Pertimbangan ini diberikan dengan mengambil kira keadaan semasa murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah.

d. Perkara yang diutamakan adalah untuk memastikan murid hadir ke sekolah untuk memulakan PdP secara bersemuka.

6. Penyuraian Murid Ketika Balik Dari Sekolah

a. Pelibatan PIBG, PIBK, Pihak Berkuasa Tempatan, masyarakat setempat dan pihak-pihak lain dalam memastikan penyuraian murid ketika balik dari sekolah.

b. Memastikan murid mematuhi SOP ketika berada di luar kawasan sekolah.

c. Murid tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai, menjaga penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup separuh muka.

d. Laluan murid keluar dari sekolah teratur, ibu bapa/penjaga menjemput anak/anak jagaan mematuhi sistem yang ditetapkan dan kesesakan lalu lintas dapat dielakkan.

e. Murid-murid yang menaiki bas sekolah dan kenderaan awam juga dapat dikawal dengan mewujudkan sistem pergerakan yang teratur.

f. Pihak sekolah perlu memilih model yang bersesuaian untuk menyuraikan murid dari sekolah seperti yang dicadangkan oleh KPM.

g. Selang masa yang dicadangkan ialah 30 minit bagi setiap kumpulan murid jika model penyuraian secara berperingkat dipilih oleh pihak sekolah.

h. Sekolah dua sesi mesti merancang waktu penyuraian murid sesi pagi dan waktu datang ke sekolah bagi murid sesi petang tidak bertembung pada masa yang sama.

i. Komunikasi awal mesti dilakukan oleh pihak sekolah dengan ibu bapa/penjaga.

Dato’ Hj. Adzman Talib

TKPPM (SOS)

Kementerian Pendidikan Malaysia