Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seharusnya diberi keutamaan kepada subjek teras bagi mengurangkan stres kepada murid dan guru.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad, berkata PdPR yang lebih fleksibel semasa pandemik ini seharusnya mengurangkan bilangan subjek tertentu yang tidak penting bagi mengurangkan stres kepada kedua-dua pihak ini.

“Beberapa negara seperti England sudah menggugurkan bilangan mata pelajaran semasa pandemik ini dengan memberi keutamaan kepada subjek yang dianggap teras dan tidak boleh ditinggalkan sahaja.

“Bukan bermaksud subjek lain itu tidak penting tetapi buat masa sekarang kita harus ada keutamaan.

 

“Misalnya, subjek Bahasa Melayu dan English adalah subjek teras dan memerlukan masa yang panjang untuk dikuasai, jadi ia tidak boleh digugurkan,” katanya ketika ditemu bual secara dalam talian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “PdPR 2.0 – Solusi di Luar Kotak”, malam tadi.

Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu Dr Abdul Mutalib Embong pula berkata, PdPR secara “off-site” di sekolah rendah luar bandar bagi murid miskin perlu ditambah baik dengan sukatan pembelajaran mengikut tahap keupayaan semasa murid bagi memastikan mereka tidak tercicir.

Katanya, PdPR secara “off-site” kebanyakan guru akan menyediakan modul sesuatu pelajaran kepada murid namun tiada bimbingan daripada guru berkenaan.

“Ini pula ditambah dengan ibu bapa yang datang daripada golongan kurang bernasib baik dari segi pengetahuan untuk menolong anak mereka. Jadi modul pembelajaran itu boleh direndahkan.

“Contohnya, walaupun objektif untuk Tahun 3 adalah mengikuti pembelajaran Tahun 3 tidak tercapai tapi saya rasa lebih bermanfaat mereka dibekalkan modul pembelajaran Tahun 2, dan sekiranya ada peningkatan, murid

Tahun 3 ini boleh dibekalkan modul yang lebih mencabar atau setarafnya,” katanya.

Abdul Mutalib berkata, langkah itu penting kerana ramai murid di Tahun 2 dan 3 di sekolah luar bandar masih tidak mampu untuk menguasai asas pembelajaran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira kerana banyak masa mereka tidak berada di sekolah sejak pandemik COVID-19 menular pada tahun lepas.

Pada masa sama, Abdul Mutalib turut mencadangkan supaya dilakukan penjadualan semula guru yang mengajar bukan subjek teras seperti guru muzik dan pendidkan jasmani untuk membantu guru lain yang mempunyai ramai murid.

“Kita tidak boleh nafikan satu-satu kelas, guru dibebani dengan 30 hingga 40 murid, jadi apabila PdPR berjalan, guru lagi terbeban apabila murid bertanya soalan dengan masa yang terhad.

Jadi, mungkin sebahagian murid daripada kelas itu dipecahkan kepada kumpulan lain dan dipantau oleh guru lain bukan teras,” katanya. – BERNAMA