JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengarahkan Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga ditutup sehingga 8 Okt ini, berikutan seorang guru wanita di situ positif Covid-19.

Pengarahnya Abdul Rashid Abdul Samad berkata, arahan itu berkuatkuasa bermula hari ini bagi membendung penularan pendemik Covid-19.

“Setakat ini, sekolah itu akan ditutup selama lapan hari dan sebarang keputusan lain akan dibuat selepas kami bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya beliau belum mendapat laporan lengkap dari SK Permatang Janggus, namun dimaklumkan semua murid di situ perlu menjalani ujian saringan Covid-19 yang dijalankan di sekolah hari ini.


ADA PERNIAGAAN / PRODUK YANG NAK DIHEBAHKAN? IKLAN DI SINI


Difahamkan guru wanita berusia lingkungan 40-an itu dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah, sebelum mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kedah kerana tinggal di Sungai Petani dan ujian Covid-19 mendapati dia positif.

Difahamkan wanita itu isteri kepada seorang ahli politik di Kedah dan suaminya sebelum itu pergi berkempen di Sabah, semasa Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

Sementara itu tinjauan Bernama di sekolah berkenaan mendapati ibu bapa serta penjaga menunggu anak-anak mereka yang menjalani ujian saringan Covid-19 dalam kawasan sekolah, sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Menurut mereka, pihak sekolah memaklumkan kepada waris menerusi aplikasi WhatsApp pagi ini yang kesemua murid iaitu kira-kira 600 murid perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tersebut, dan diarahkan dikuarantin di rumah. – Bernama, 1 Oktober, 2020