Seperti mana yang kita sedia maklum, pemakaian Batik Malaysia adalah pada hari Khamis bagi setiap Penjawat Awam. Namun begitu sebelum ini ia hanya digalakkan untuk memakainya.
Namun begitu pihak Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah mengeluarkan surat arahan mewajibkan semua Penjawat Awam memakai Batik Malaysia pada setiap hari Khamis dan digalakkan memakainya pada hari lain. Rujuk surat: https://www.pendidik2u.my/penjawat-awam-wajib-pakai-batik-malaysia-setiap-khamis/
Apakah yang dimaksudkan dengan Batik Malaysia?
Batik Malaysia merupakan seni kraf hasil kerja tangan sepenuhnya atau sebahagiannya yang
mempunyai motif beridentitikan seni dan budaya masyarakat Malaysia melalui proses
pembuatan batik dengan menggunakan lilin batik atau bahan serta teknik halangan warna
bagi menghasilkan reka corak. Batik Malaysia terdiri daripada:
• Batik Lukis
• Batik Terap
• Batik Sutera Saring
• Batik Alternatif
Adakah pegawai awam lelaki dibenarkan memakai baju kemeja
batik Malaysia berlengan pendek?
Tidak boleh. Pegawai awam lelaki hendaklah memakai baju kemeja batik Malaysia
berlengan panjang berdasarkan Jadual Tatacara Pemakaian Pakaian Batik Malaysia
di perenggan 4 Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2006 – Fesyen Pakaian
Alternatif Sebagai Pakaian Semasa Bekerja Dan Menghadiri Upacara Rasmi.
Adakah pegawai perubatan dan petugas kesihatan masih tertakluk
dengan ketetapan pemakaian batik memandangkan pegawai klinikal
memakai lab coat semasa bekerja?
Tidak, pegawai awam yang dibekalkan pakaian seragam adalah dikecualikan
daripada pemakaian pakaian batik Malaysia termasuk petugas kesihatan yang memakai
lab coat.
Bolehkah pegawai wanita memakai tudung bercorak batik sahaja dan bukan pakaian batik Malaysia?
Tidak boleh
Adakah pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib jika enggan memakai pakaian batik Malaysia?
Ketua Jabatan boleh menasihati pegawai sekiranya enggan memakai pakaian batik
Malaysia. Sekiranya masih ingkar dengan alasan yang tidak munasabah, pegawai boleh
dikenakan tindakan tatatertib.
Adakah pegawai yang dibekalkan dengan pakaian seragam boleh
memakai baju batik Malaysia?
Bagi pegawai yang dibekalkan pakaian seragam adalah dikecualikan daripada pemakaian pakaian batik Malaysia. Walau bagaimanapun, kebenaran pemakaian batik Malaysia boleh diberikan oleh Ketua Jabatan berdasarkan kepada ketetapan dan kesesuaian masing-masing.