Umpama Murid Sekolah Menengah

SUBANG JAYA: Seorang profesor dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat mendapati kualiti lepasan ijazah di Malaysia dan Indonesia setaraf dengan pelajar sekolah menengah di Denmark. Profesor Lant Pritchett yang sebelum ini melakukan kajian pendidikan di Indonesia berkata terdapat persamaan kelemahan di kalangan graduan kedua-dua negara. 
Gambar ~ FMT
“Kajian dilakukan ke atas graduan di Indonesia dari segi tahap celik, pemikiran kreatif dan aspek lain. Hasilnya sama dengan pelajar tercicir di peringkat sekolah menengah rendah di Denmark,” katanya kepada FMT. “Ciri-ciri sama juga didapati di Malaysia.” Pritchett berada di Malaysia untuk Forum Dasar Awam Asia 2016 yang dianjurkan bersama Harvard Kennedy School dan Jeffrey Cheah Institute of Southeast Asia di sini semalam. 
Menurutnya, antara puncanya ialah pelajar tidak menguasai subjek dipelajari ketika di sekolah. “Ketika mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, mereka sudah ketinggalan jauh. Tiada pemahaman mendalam tentang subjek. Sebaliknya, ia sekadar ingatan hafalan, menggunakan teori dan meluahkannya dalam peperiksaan,” kata Pritchett. 
 Menurutnya, ukuran sebenar pendidikan ialah penguasaan mata pelajaran dengan aplikasi praktikal dan tidak terhad kepada hafalan semata-mata. Beliau berkata, sistem sepatutnya menakrifkan semula peranan pendidikan kepada bukan sahaja persekolahan yang menumpukan kehadiran, tetapi juga idea supaya generasi muda mampu menempuh abad ke-21.
Sumber: Free Malaysia Today / Jawapan Maaf Pembetulan Free Malaysia Today

Leave a Reply