Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching telah membina sebuah Laman Haji iaitu beberapa buah Replika bangunan seakan sama seperti keadaan di Mekah.
Laman Haji ini juga digunakan sebagai tempat untuk membuat Praktikal Kursus Haji

SEBAIK sahaja menjengah ke Laman Haji Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching, Semenyih, Selangor, hati seseorang yang pernah mengerjakan ibadah haji pasti akan terusik dengan kenangan indah semasa berada di tanah suci. Apakan tidak, rekaan model bangunan dan beberapa lokasi utama di Mekah yang saling tak tumpah seperti bangunan asal mengimbau kembali kenangan dan suasana perjalanan mengerjakan ibadah kelima dalam Rukun Islam tersebut. 
Pembinaan laman haji interaktif di sekolah itu disifatkan sebagai satu rahmat buat golongan pelajar dan masyarakat setempat yang berminat mendapat gambaran awal berhubung pelaksanaan ibadah haji. Bukan sahaja replika beberapa buah kawasan di tanah suci dibina dengan rekaan sangat menarik, malah maklumat penting yang harus diketahui oleh bakal tetamu Allah turut disediakan dengan lengkap. 
Meskipun terletak dalam sebuah kawasan agak terhad, namun laman haji di sekolah itu boleh diangkat sebagai sebuah destinasi menarik yang harus dikunjungi oleh sesiapa sahaja. Pengetua sekolah itu, Saliha Mansor berkata, pihak sekolah sangat bertuah apabila laman haji tersebut dapat dibina dengan sebuah rekaan terbaik disumbangkan oleh seorang kontraktor bumiputera yang sangat bermurah hati. Katanya, biarpun pihak sekolah hanya mampu menyediakan sedikit peruntukan, namun pihak kontraktor bersetuju menaja kos pembinaan sepenuhnya demi memastikan hasil terbaik dapat dihasilkan untuk manfaat bersama. “Kami sama sekali tidak menyangka pembinaan laman haji ini dapat dihasilkan, malah hanya mengambil masa singkat untuk disiapkan iaitu sekitar seminggu sahaja. Kerja-kerja pembinaan dilakukan siang dan malam, selain menggunakan kren untuk mengangkat replika bangunan yang besar dan tinggi.
 “Laman haji ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz pada 21 November 2016 bagi dimanfaatkan sepenuhnya buat pelajar terutama kepada mereka yang mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam,” katanya yang ditemui baru-baru ini. Yang hadir sama dalam pertemuan itu adalah Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Rozman Ab. Kadir yang turut berpuas hati dengan pembinaan laman haji tersebut.

Laman Haji SMK Bandar Rinching

See more at: Utusan