PPD Akan Jumpa Guru dan Waris


Alor Setar: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Setar akan bertemu guru yang didakwa mengasari seorang pelajar tingkatan empat semalam untuk menjalankan siasatan dalaman.
Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata, PPD juga akan mengadakan pertemuan permuafakatan dengan pihak waris pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan kejadian itu.
Gambar Harian Metro

"Kami difahamkan waris pelajar terbabit sudah membuat laporan polis dan kes ini dalam siasatan polis.
"JPN akan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan namun dari segi siasatan di peringkat PPD, kita akan bertemu dengan guru terbabit dan mengadakan pertemuan dengan waris pelajar terbabit," katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Zatul Suzellah Omar, 37, berkata, akibat kejadian itu anaknya, Nahar Danial Aiman Naharudin, 16, mengalami bengkak di kepala.
"Kami sudah membawa Nahar Danial ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) semalam dan doktor mengesahkan belakang kepala anak saya bengkak dan laporan perubatan itu juga sudah diserahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
"Saya kesal dengan guru terbabit kerana memperlakukan anak saya sedemikian rupa dan berharap polis dan PPD menjalankan siasatan berhubung kejadian ini," katanya ketika dihubungi tadi.
Harian Metro Online semalam melaporkan seorang pelajar tingkatan empat mendakwa dikasari guru disiplin di hadapan pintu pagar sekolah, semalam.
Dalam kejadian 7.40 pagi itu, mangsa mendakwa dicekak, dipukul serta disepak kerana tidak berpakaian kemas apabila baju tidak dimasukkan ke dalam seluar kerana terlewat bangun dan bergegas ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan malah guru terbabit juga sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Sumber: Harian Metro