NUTP Kesan Ada Sekolah Tak Patuhi Pekeliling

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengesan ada sekolah melaksanakan kegiatan pada Sabtu minggu pertama, ketiga dan kelima yang bercanggah dengan pekeliling Kementerian Pendidikan melarang aktiviti pada minggu berkenaan. 

NUTP kesan ada sekolah

Presidennya Kamarozaman Abd Razak berkata sekolah terbabit sepatutnya mematuhi pekeliling dan setiap arahan Kementerian Pendidikan bagi memberi peluang guru berehat dan menguruskan hal ehwal keluarga pada hari berkenaan. 

Sedia jadi orang tengah 

"Kami sedia menjadi orang tengah untuk melaporkan sekolah terbabit kepada Kementerian Pendidikan bagi memastikan guru tidak terbeban dengan kegiatan sekolah setiap hujung minggu (Sabtu). "Kegiatan sekolah pada Sabtu minggu pertama, ketiga dankelima 'diharam'' oleh Kementerian Pendidikan seperti termaktub dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 13 2005: Pelaksanaan Bekerja Lima Hari Seminggu," katanya kepada BH di sini semalam. 

Kamarozaman diminta mengulas aduan guru berhubung sekolah mengadakan kegiatan pada Sabtu minggu pertama, ketiga dan kelima sedangkan program atau mesyuarat hanya boleh dijalankan pada minggu kedua dan keempat sahaja. Pada 7 Mac 2016, Kementerian Pendidikan mengeluarkan pekeliling berkaitan pelaksanaan bekerja lima hari seminggu seperti termaktub dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 13 2005 yang hanya membenarkan mesyuarat dan program pada Sabtu minggu kedua dan keempat. 

Pekeliling ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab itu jelas menyatakan tiada sebarang aktiviti, program atau mesyuarat dibenarkan pada Sabtu minggu pertama, ketiga dan kelima.
~ Berita Harian