Guru Pakai Kostum Adiwira Sambut Murid

JOHOR BAHRU - Ingin melihat murid gembira datang ke sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rengit, Batu Pahat, dan SK Taman Scientex, di sini, tampil dengan idea menggunakan kostum adiwira dan kartun untuk menyambut kedatangan murid.

Kostum ditampilkan SK Sri Rengit merupakan adiwira Ultraman manakala SK Taman Scientex menampilkan Mickey dan Minnie Mouse.

Hasilnya, inisiatif berkenaan menjadi viral di media sosial selain mendapat sambutan baik daripada kalangan ibu bapa murid sekolah berkenaan.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Sri Rengit, Zizi Edrianna Md Arshad berkata idea terbabit timbul selepas perbincangan dalam kalangan guru yang mahukan kelainan untuk murid khususnya murid Tahun Satu dan prasekolah.

"Memang pihak sekolah ada melakukan sambutan terhadap murid baru setiap tahun... cuma, tahun ini kelainannya menggunakan kostum.

"Alhamdulillah, kami mendapat maklum balas baik daripada ibu bapa dan murid-murid juga seronok bila lihat 'Ultraman' di sekolah," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Zizi Edrianna berkata perbincangan berkenaan diadakan melalui mesyuarat bersama 31 guru di bawah Program Penyayang dan mendapat persetujuan daripada Guru Besar sekolah.

Beliau berkata SK Sri Rengit mempunyai seramai 390 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam dan 50 murid prasekolah.

Sementara itu, Guru Besar SK Taman Scientex Ramlah Othman pula berkata langkah menggunakan kostum dilihat bersesuaian dalam meningkatkan motivasi murid dan guru.

"Bila murid rasa seronok datang ke sekolah, mereka jadi seronok untuk belajar dan cikgu-cikgu kita pun rasa seronok mengajar.

"Tahun lepas kita sambut murid dengan kostum Upin dan Ipin serta Kungfu Panda. Tahun ini kita tampilkan karakter Mickey dan Minnie Mouse dan sambutan yang kita terima daripada ibu bapa sangat menggalakkan,” katanya.

Menurut Ramlah, inisiatif itu juga mendapat sokongan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

SK Taman Scientex mempunyai 50 murid prasekolah, 2,120 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam serta 97 guru, katanya. - Bernama