Sistem Pendidikan di Jepun


SEMASA saya berada di Jepun di bawah biasiswa Monbusho dan kerajaan Malaysia, selama 42 bulan, hampir tujuh tahun yang lepas - saya telah berpeluang bergaul rapat dengan beraneka lapisan masyarakat Jepun.
Peluang ini saya gunakan untuk memahami dengan lebih mendalam lagi sistem pendidikan dan gaya hidup orang Jepun serta mengapa mereka boleh menjadi kuasa ekonomi dunia dalam jangka masa pendek.
Pendidikan di Jepun adalah wajib untuk semua rakyat yang berumur antara enam hingga 15 tahun.
Sembilan tahun pendidikan wajib ini, meliputi enam tahun sekolah rendah dan tiga tahun sekolah menengah bawah.
Guru di Jepun dihormati dan dihargai dengan pemberian segala kemudahan.
Lebih-lebih lagi, guru sekolah rendah mungkin mendapat gaji yang lebih tinggi berbanding dengan pensyarah universiti yang mula berkhidmat.
Semua guru sekolah rendah adalah berijazah dan sekiranya tiada (segelintir kecil sahaja), mereka digalakkan meneruskan pelajaran mereka.
Semua sekolah Jepun adalah satu sesi dan ini memang sesuai dengan iklim di sana.
Oleh itu, guru sekolah biasanya bekerja dari pagi hingga lewat petang.
Pada hari Ahad pula, ada guru yang terpaksa ke sekolah untuk membimbing pelajar dalam kegiatan sukan.
Dari segi luaran, sistem pendidikan Jepun tidak jauh berbeza dengan sistem pendidikan kita di sini.
Akan tetapi, sekiranya diteliti dengan lebih mendalam lagi, maka muncullah perbezaan-perbezaan kecil yang akhirnya boleh mengakibatkan satu perbezaan yang ketara.
Sekiranya murid itu terlalu kecil, umpamanya tahun satu, maka mereka akan dibawa ke sekolah oleh ibunya (kyoiku mama).
Mereka dikehendaki berjalan kaki ke sekolah atau mengambil pengangkutan awam.
Untuk murid yang lebih besar, mereka berbasikal ke sekolah.
Keinginan ibu untuk anaknya berjaya di sekolah amat ketara sekali, sehingga mereka dikenali sebagai kyoiku mama, yang bermaksud ibu pendidikan!
Kadangkala, terdapat ibu yang pergi ke kelas tuisyen yang sama dengan anaknya supaya dia boleh membimbing anaknya dalam pelajarannya.
Kerja sama antara ibu dan guru begitu rapat sehinggalah mereka bertanggung-jawab bersama atas keselamatan jalan raya dengan bertugas di tepi simpang jalan raya untuk memastikan bahawa murid sekolah melintas dengan selamat.
Disiplin sekolah boleh dikatakan ketat dan dijalankan tanpa ketakutan atau kecenderungan.
Kelas sekolah rendah dipecahkan kepada beberapa waktu dalam sehari. Setiap waktu adalah 45 minit. Waktu rehat sepanjang 10 hingga 20 minit dikhaskan antara waktu pengajaran.
Murid di sekolah rendah tidak disalurkan mengikut pencapaian akademik mereka. Ini adalah untuk mengurangkan lagi perbezaan antara kelas dan juga menghilangkan pra-sangka guru apabila mengajar kelas pandai berbanding dengan kelas lemah.


Dengan cara ini, kelas dipecahkan kepada kumpulan kecil di mana bukan sahaja murid lelaki dan perempuan dicampur dalam kumpulan yang sama, malah pencapaian akademik mereka sengaja dijadikan heterogenus.
Satu lagi keistimewaan ialah tidak ada ketua darjah yang tetap sepanjang tahun. Semua murid diberi peluang merasakan beban tanggung-jawab sebagai seorang ketua darjah.
Satu ciri istimewa sekolah rendah Jepun ialah walaupun terdapat dapur sekolah, tetapi tiada kantin sekolah! Murid dan guru makan dalam bilik darjah masing-masing.
Apa yang menarik ialah pengendalian, pengagihan, dan layanan makanan dilakukan seratus-peratus oleh murid kelas yang terbabit.
Pada waktu rehat makan, makanan yang siap dimasak di dapur sekolah oleh tukang masak (diupah oleh sekolah), dibawa ke kelas masing-masing melalui troli oleh wakil murid kelas.
Murid yang tinggal dalam kelas akan mengatur dan menyediakan kerusi meja untuk sesi makan.
Menu makanan diumumkan lebih awal lagi. Satu sampel makanan mesti disediakan dan dipamerkan di tempat khas. Ini adalah untuk membuat siasatan sekiranya terdapat makanan yang disyaki telah rosak atau murid diserang keracunan makanan.
Selain itu, sepanduk dan carta yang mencerminkan matlamat sekolah, kelas atau kumpulan sering dilihat di dalam bilik darjah mahupun di luar.

Oleh: En. Ow Yong Kean Guan, M.Ed. (Jepun)
Persatuan Pengurusan Pendidikan Malaysia
(Pakar Pendidikan Teknologi, SEAMEO RECSAM, Pulau Pinang)

Sumber:  Utusan Online