Pembantu Guru Bantu Kurangkan Beban Kerja Pentadbiran Guru

KUALA LUMPUR - Sejumlah 860 pembantu guru dilantik secara Pekerja Sambilan Harian (PSH) di sekolah-sekolah di Melaka dan Kedah tahun ini bagi mengurangkan beban kerja pentadbiran guru.
Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon berkata perlantikan itu  dibuat di bawah Program Pemantapan Profesion Guru (PPG) melalui inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Beliau bagaimanapun berkata peluasan PPG ke negeri-negeri lain bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.


"Kaedah lain bagi menangani isu beban tugasan ini adalah dengan pengisian jawatan kosong di sekolah selain mengurangkan serta memudahkan tugasan kemasukan data dan pelaporan," katanya menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berkenaan pelantikan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugas guru sekolah pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sin Woon berkata kementerian juga memperhalusi kaedah pengoperasian dan pengurusan sekolah yang lebih mengutamakan keberhasilan pembelajaran murid serta mengurangkan beban aktiviti bukan melibatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) berkaitan sistem kemasukan data yang rumit, Sin Woon berkata isu itu tidak timbul kerana keberkesanan aplikasi e-Operasi yang dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, melalui aplikasi tersebut, guru hanya perlu mendaftar secara "Single Sign On" (SSO) dan memasukkan data ketidakhadiran murid dan kemas kini data murid sahaja sekali gus mengurangkan beban mereka di sekolah tanpa tugasan dalam talian lain. – Bernama