Laporan TIMSS 2015: Malaysia Memperbaiki Kedudukan

PUTRAJAYA: Malaysia mencatat peningkatan memberangsangkan dan berada pada kedudukan pertengahan antara 39 negara peserta dalam laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2015 berbanding pada 2011.


Berdasarkan laporan itu, Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan bagi subjek Sains pada tempat ke-24 dengan mencatat 471 mata pada tahun 2015, berbanding tempat ke-32 (426 mata) pada TIMSS 2011.

Bagi subjek Matematik pula, Malaysia berada pada tempat ke-22 dengan 465 mata, meningkat empat tangga berbanding pada TIMSS 2011 dengan kedudukan ke-26 (440 mata).

Keputusan peringkat kebangsaan diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, di Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.

Malaysia menyertai kajian perbandingan antarabangsa anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) itu bermula tahun 1999 hanya bagi Gred 8 yang ditadbirkan dalam kitaran setiap empat tahun.

Sampel TIMSS 2015 bagi peringkat Malaysia terdiri daripada 9,726 pelajar Tingkatan Dua, 326 guru Matematik, 326 guru Sains dan pentadbir daripada 207 sekolah sampel di seluruh negara.

Laporan TIMSS 2015 Malaysia
Gambar: Berita Harian
INFO: TIMSS
- Anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA)
- IEA menawarkan kajian TIMSS bagi Gred 4, Gred 8 dan lanjutan, namun Malaysia hanya menyertai kajian bagi Gred 8.

Sumber: Berita Harian