Bapa Buat Laporan Polis, Mendakwa Anak Dicubit Ustazah

Melaka: Ibu bapa murid lelaki darjah lima di sekolah rendah di Ayer Molek, di sini, mendakwa anaknya dicubit oleh ustazah sehingga meninggalkan kira-kira 20 kesan lebam di lengan dan belakang badan, 4 Oktober lalu.
Gambar Harian Metro

Bapanya Mohd Nizam Othman, 32, berkata, anak lelakinya mendakwa dia dicubit sehingga meninggalkan lebam kerana tidak menghafal Bahasa Arab.

Katanya, sebelum ini anak lelakinya itu mengadu dicubit tetapi dia dan isteri memarahinya semula kerana beranggapan dia tidak memberi perhatian, namun tidak menyangka keadaan sebaliknya berlaku.

"Malam itu dia menangis tidak dapat tidur. Apabila ditanya dia kemudian memberitahu dicubit oleh ustazah lalu menunjukkan kesan lebam di tangan dan belakang badan.

"Saya dan isteri amat terkejut melihat kira-kira 20 kesan lebam lama dan baru akibat dicubit dibadannya," katanya.

Menurutnya, esoknya dia membawa anaknya ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan dan doktor kemudian mengesahkan dia didera sebelum membuat laporan di Balai Polis Tiang Dua.

Katanya, susulan kejadian itu anaknya sering menangis tidak mahu kesekolah kerana takut selain sehingga kini ustazah berkenaan masih mengajar kelas anaknya.

SUMBER: Harian Metro