Gantung Setahun Untuk Bendung Kegiatan Buli di Sekolah

Mulai Januari depan, mana-mana pelajar yang didapati terbabit dalam kegiatan buli kategori serius berdepan tindakan digantung persekolahan setahun.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan itu dilihat idea terbaik bagi membendung kegiatan buli yang disifatkan amat serius sejak kebelakangan ini terutama membabitkan pelajar senior dan junior.

Justeru, beliau berkata, kementeriannya memberikan tempoh sebulan bagi mendapatkan reaksi daripada pihak berkepentingan termasuk komuniti mengenai cadangan itu sebelum dikuatkuasakan.

“Kaki buli dalam kalangan pelajar yang digantung diwajibkan membabitkan diri dengan kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak dalam tempoh penggantungan itu sebagai syarat untuk diterima masuk semula ke sekolah.

“Kementerian berhasrat melaksanakan langkah ini secepat mungkin dan kita akan menerima pandangan dan reaksi semua pihak dalam masyarakat berhubung cadangan ini.

“Ia membabitkan semua sekolah sama ada menengah mahupun rendah kerana semua maklum kes buli sudah serius terutama membabitkan senior dan junior, maka bukan saja ketua pembuli, malah rakan yang turut terbabit dalam kegiatan ini juga akan dikenakan hukuman sama,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, mana-mana pelajar yang bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jika disahkan ketua pembuli di sekolah tetap akan digantung setahun dan terpaksa mengambil peperiksaan itu pada tahun berikutnya.

Katanya, pada masa sama, beliau melihat cadangan itu langkah terbaik daripada tindakan membuang pelajar yang terbabit dalam kegiatan disiplin serius berikutan ia menyebabkan golongan itu tercicir selama-lamanya daripada pendidikan.

“Kalau nak buang banyak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pihak tertentu tak begitu berpuas hati dan tak setuju tapi kalau tak ambil tindakan langsung, kes buli ini dah banyak dan tak boleh biarkan,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO