Buku Panduan Pelaksanaan Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB)

Buku Panduan Pelaksanaan Program Pembangunan Guru Baharu


Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB) bermula pada tahun 2011 di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan sehingga kini lebih daripada 19,000 Guru Baharu di seluruh negara telah mengikuti program ini. Melalui program bimbingan berstruktur berasaskan sekolah, program ini dibangunkan untuk profesionalisme Guru Baharu yang pertama kali menceburi diri dalam profesion keguruan di sekolah. Guru Baharu yang mengikuti program ini, antara satu hingga tiga tahun dan dalam tempoh masa tersebut, mereka dibimbing untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta amalan nilai profesional sebagai guru yang berkualiti dan profesional. Dapatan kajian impak yang dilaksanakan pada tahun 2014 terhadap Guru Baharu yang mengikuti PPGB dari tahun 2011 hingga 2013 menunjukkan program ini memberi perubahan yang positif terhadap pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai profesionalisme mereka.


Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah) 2013-2025 dan Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (Guru dan Pemimpin Sekolah) KPM Edisi 2014, pengisian program ini ditambah baik bagi memastikan Guru Baharu dilengkapkan dengan pengetahuan berkaitan dasar pendidikan terkini untuk diterjemahkan dalam strategi pengajaran dan pembelajaran serta tugas harian mereka mendidik murid di sekolah. 

Maka Panduan Pelaksanaan Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB) 2015 dihasilkan sebagai asas untuk memastikan Guru Baharu dapat menguasai dan memantapkan kompetensi profesionalisme mereka selaras dengan hasrat KPM agar guru di Malaysia kekal berkualiti ke arah mentransformasi pendidikan negara. Panduan ini digunakan sebagai rujukan bukan hanya oleh Guru Baharu, tetapi juga bahan rujukan Guru Mentor, Pentadbir Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak berkepentingan yang terlibat secara bersama untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan program ini. Diharapkan Panduan PPGB ini dapat membantu Guru Baharu mengamalkan budaya kerja cemerlang di sekolah untuk melahirkan murid yang boleh berhadapan dan bersaing dalam dunia global masa hadapan.


Kata-kata Aluan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru