Beban Tugas Guru Berkurangan Awal Tahun Depan


Berikut adalah petikan dari Berita Harian 13 Ogos 2016

ALOR GAJAH: Kementerian Pendidikan memberi jaminan beban tugas guru di negara ini akan berkurangan susulan usaha kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik berkaitan isu itu menjelang Januari tahun depan.


Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ini kerana sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan di peringkat kementerian sedang mengkaji masalah yang ditanggung guru pada masa ini dan keputusan mengenainya dijangka diperoleh pada Oktober ini.

Beliau berkata, jawatankuasa yang diterajui Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, itu juga sedang mencari penanda aras yang boleh diguna pakai.


"Beban tugas guru antara kebajikan yang perlu diberi perhatian, mana tugas hakiki (mengajar) dan beban tugas yang mungkin kadangkala mengganggu perasaan guru.

"Kita akan lihat semula mana satu yang perlu dikekalkan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan negeri (JPN) atau di kementerian. Semua ini diambil perhatian serius, termasuk tugas pengisian data dalam talian yang sedang dilaksanakan guru pada ketika ini," katanya.

~ Sumber Berita Harian