Penyenaraian Peminjam PTPTN Dalam CCRIS

Berikut merupakan FAQ berkenaan Penyenaraian Peminjam PTPTN dalam CCRIS

Soalan 1 :
Siapakah yang akan disenaraikan di dalam CCRIS oleh PTPTN?
Jawapan :
Semua peminjam yang sepatutnya membuat bayaran balik selepas 6 bulan tamat tempoh pinjaman akan disenaraikan di dalam CCRIS.

Soalan 2 :
Bolehkah rekod laporan CCRIS peminjam disemak dengan PTPTN?
Jawapan :
Tidak boleh. Semakan hendaklah dibuat terus di kaunter dan kiosk mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia (BNM) di seluruh negara.

Soalan 3 :
Apakah maklumat yang direkodkan di dalam CCRIS?
Jawapan :
Maklumat yang direkodkan di dalam CCRIS adalah rekod bayaran ansuran bulanan bagi tempoh 12 bulan yang lepas.

Soalan 4 :
Apakah yang perlu dilakukan oleh peminjam bagi memastikan rekod pinjaman PTPTN di CCRIS tidak memberi sebarang masalah kepada permohonan pinjaman beliau di bank atau institusi kewangan lain?

PTPTN GUNA CCRIS

Jawapan :
Peminjam perlu membuat bayaran secara konsisten mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelakkan tunggakan demi memastikan rekod CCRIS berada di dalam keadaan baik. Sekiranya rekod di CCRIS menunjukkan terdapat sebarang bulan tunggakan, berkemungkinan permohonan pinjaman tidak dipertimbangkan oleh institusi kewangan. Walau bagaimanapun, kelulusan sesuatu pinjaman yang dipohon adalah tertakluk kepada budi bicara dan bidang kuasa institusi kewangan tersebut.

Soalan 5 :
Bolehkah peminjam berunding dengan Bank Negara Malaysia (BNM) atau institusi kewangan lain mengenai rekod pinjaman PTPTN beliau di dalam CCRIS?
Jawapan :
Peminjam tidak boleh berunding dengan BNM atau institusi kewangan lain mengenai rekod pinjaman PTPTN di CCRIS. Semua rundingan mengenai pinjaman PTPTN sama ada penyelesaian hutang pinjaman atau penjadualan semula pinjaman hendaklah dibuat dengan PTPTN. Peminjam boleh menghubungi hotline PTPTN di talian 03-2080 4455 atau hadir berunding di mana-mana cawangan PTPTN di seluruh negara.

Soalan 6 :
Apakah yang perlu dilakukan oleh peminjam sekiranya ingin mengeluarkan rekod pinjaman PTPTN beliau daripada CCRIS?
Jawapan :
Peminjam hendaklah membuat penyelesaian penuh hutang pinjaman dan rekod di dalam CCRIS akan dikemaskini kepada ‘SELESAI' dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja daripada tarikh bayaran dikemaskini dalam penyata PTPTN.

Soalan 7 :
Apakah tindakan yang patut dilakukan oleh peminjam sekiranya tidak mampu membuat penyelesaian penuh hutang pinjaman?
Jawapan :
Peminjam hendaklah menyelesaikan keseluruhan tunggakan dan membuat bayaran balik bulanan secara teratur (konsisten) mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB) yang telah ditetapkan. Peminjam yang mempunyai masalah kewangan dinasihatkan berunding dengan PTPTN untuk penjadualan semula hutang dan seterusnya membuat bayaran bulanan secara teratur.

Soalan 8 :
Sekiranya peminjam telah membuat bayaran keseluruhan tunggakan, adakah rekod menjadi lebih baik dan rekod buruk akan dikeluarkan dari CCRIS? Adakah peminjam masih berpeluang untuk membuat pinjaman dengan institusi kewangan lain?
Jawapan :
Rekod pada bulan semasa akan menjadi baik. Walau bagaimanapun, maklumat mengenai bilangan ansuran tertunggak selama 12 bulan yang lepas masih dipaparkan dalam laporan kredit CCRIS. Kelulusan sesuatu pinjaman yang dipohon adalah tertakluk kepada budi bicara dan bidang kuasa institusi kewangan tersebut.

Soalan 9 :
Bilakah tarikh bayaran balik perlu dibuat supaya rekod pada laporan kredit CCRIS adalah baik pada setiap bulan?
Jawapan :
Bayaran balik pinjaman hendaklah dibuat pada bulan berkenaan. Bagi memastikan transaksi tersebut dikemas kini dalam penyata pada bulan semasa, transaksi melalui agen/pihak ketiga hendaklah dibuat selewat-lewatnya pada 27 haribulan setiap bulan. Transaksi selepas tarikh tersebut akan dikemas kini dalam penyata pada bulan berikutnya. Walau bagaimanapun, transaksi yang dibuat sehingga akhir bulan melalui kaunter PTPTN akan dikemas kini dalam penyata pada bulan semasa.

Soalan 10 :
Jika peminjam membuat bayaran balik pinjaman, bilakah rekod peminjam akan dikemas kini dalam CCRIS?
Jawapan :
Rekod bayaran akan dikemas kini oleh PTPTN pada tarikh penghantaran laporan berikutnya, iaitu tidak lewat daripada 15 haribulan pada bulan berikutnya.

Soalan 11 :
Mengapa rekod CCRIS buruk walaupun bayaran balik pinjaman telah dibuat pada setiap bulan?
Jawapan :
Rekod CCRIS masih buruk kerana peminjam mempunyai tunggakan yang disebabkan oleh:
Bayaran dibuat lewat daripada jadual yang ditetapkan. Sebagai contoh, bayaran mula dibuat selepas 1 tahun tamat pinjaman sedangkan peminjam sepatutnya mula membuat bayaran selepas 6 bulan tamat pinjaman.
Bayaran kurang daripada jumlah yang ditetapkan di dalam Jadual Bayaran Balik (JBB).


Sekiranya anda ingin membuat bayaran balik secara Pemotongan Gaji sila ke sini.