Padah Lempang Guru : Punca Sebenar

AYER KEROH: Padah kerana melempang serta mengugut seorang guru, seorang bapa murid dikenakan hukuman denda RM950 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini. Penolong Pendaftar Kanan, Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Saufie Suboh, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah bagi dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya. 


Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengugut mangsa menggunakan senjata iaitu sebatang cota yang menimbulkan ketakutan kepada Mohd Najib Mashkor, 38. Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menampar muka mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan. 


Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506/ 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban yang mengendalikan kes itu memerintahkan mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. Analia kemudian mengenakan hukuman RM450 atau tiga minggu penjara bagi pertuduhan mengugut mangsa dan RM500 atau sebulan penjara bagi pertuduhan menampar muka mangsa. 

Pada 12 Mac lalu, BH melaporkan seorang guru lelaki cedera selepas ditampar bapa muridnya dalam kejadian di kantin sebuah sekolah rendah di Ayer Molek, di sini. Guru Pendidikan Jasmani itu dikatakan diserang dan dihambur dengan kata-kata kesat oleh bapa murid kira-kira jam 7.45 pagi selepas tidak berpuas hati dengan tindakan guru menampar anaknya. Berikutan itu, guru terbabit membuat laporan di Balai Polis Kandang pada hari kejadian.