Kenapa Nafikan Hak Cuti Bersalin 90 Hari?

Setiap Penjawat Awam Wanita yang bersalin, layak untuk memohon cuti bersalin sama ada 60 hari atau 90 hari. Keistimewaan ini diberikan setelah penambahbaikan sebelum ini yang hanya layak 60 hari. Ia juga bagi memastikan wanita yang melahirkan anak dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada anaknya yang baru lahir.


Perkara ini cukup penting dalam memastikan hubungan antara ibu dan anak dapat terjalin dengan baik dan juga bagi memastikan kesihatan ibu dan anak ditahap yang terbaik. Kita juga sedia maklum bahawa ibu yang baru bersalin memerlukan rehat dan pantang yang cukup dan berdisiplin.

Pekeliling bilangan 2 Tahun 1998 telah menetapkan kemudahan cuti bersalin kepada Pegawai Perkhidmatan Awam adalah selama 60 hari yang dikira dari tarikh pegawai bersalin. Kemudian pada tahun 2009, pekeliling bilangan 5 Tahun 2009 pula dikeluarkan bagi membolehkan pegawai memilih cuti bersalin pada bila-bila masa dalam tempoh 14 hari dari tarikh dijangka bersalin. Pegawai hendaklah mengemukakan Perakuan Bersalin dan permohonan cuti bersalin kepada Ketua Jabatan masing-masing.

Setelah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 2010 dikeluarkan, penjawat awam diberi kemudahan cuti bersalin sehingga 90 hari, iaitu 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatannya. Baiklah kita rujuk beberapa isi penting di dalam pekeliling ini;

Kelayakan
6. Selaras dengan hasrat Kerajaan yang mengambil berat terhadap kebajikan pegawai, kelayakan dan peraturan kemudahan Cuti Bersalin ditetapkan seperti berikut:

6.1 seseorang pegawai yang bersalin layak mendapat Cuti Bersalin Bergaji Penuh sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatannya;

6.2 pegawai diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin di antara 60 hari sehingga 90 hari bagi setiap kelahiran;
dan

6.3 Cuti Bersalin bermula pada tarikh pegawai bersalin. Walaubagaimanapun, pegawai boleh memilih untuk menggunakan Cuti Bersalin lebih awal dari tarikh bersalin iaitu pada bila-bila masa dalam tempoh 14 hari dari tarikh dijangka bersalin. 

Namun, adakalanya kita mendapati ada segelintir ketua jabatan yang tidak membenarkan pegawai mengambil cuti 90 hari ini, sedangkan sememangnya pekeliling sudah dikeluarkan untuk memberi fleksibiliti kepada pegawai menentukan tempoh cuti bersalin yang ingin diambilnya. Jadi mengapa masih berlaku penafian hak ini? Baiklah, kita tengok situasi yang berlaku di kalangan guru, jika dikatakan tiada guru ganti yang akan menggantikan pegawai bukankah itu tanggungjawab Pihak PPD untuk menghantar Guru Ganti ke sekolah.

Sebelum ini juga pernah berlaku kes Pengetua tidak membenarkan seorang pegawai mengambil cuti 90 hari, dan tidak terkejut apabila pegawai tersebut terpaksa membuat aduan ke Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri. Sejurus selepas itu, Pegawai PPD sendiri turun ke sekolah dan pegwai tersebut dibenarkan cuti 90 hari. Bukanlah kita mahu mereka membuat laporan begini, namun mengapa kita mahu menafikan hak orang yang layak.

Namun begitu, ini hanyalah kes terpencil, mungkin ada alasan dan sebab tersendiri.. sama-samalah kita menghormati antara satu sama lain. Mungkin hari ini hari orang, mana tahu nanti hari kita pula. Kita mudahkan urusan orang, InsyaAllah Allah mudahkan urusan kita.