Puasa Tapi Tak Solat

Bulan Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam di dunia, ini kerana di dalam bulan ini penuh dengan keberkatan dan kemanisan beribadah. Setiap hari kita akan bangun bersahur bersama-sama, berbuka puasa bersama-sama dan menunaikan solat terawih berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau. 


Selain daripada itu tidak lupa juga untuk kita sama-sama bertadarus Al-Quran dan berzikir bagi meningkatkan lagi amalan, kerana pahala di bulan ramadan ini berganda-ganda.

Anak-anak kecil juga tidak lupa untuk turut sama berpuasa, sebagai latihan kepada mereka, dan paling menyeronokkan bagi mereka adalah ketika waktu untuk berbuka puasa. Mereka juga sanggup berlapar dan dahaga demi sama-sama dapat menikmati indahnya berbuka puasa. Ada juga yang mempunyai sebab tersendiri untuk berpuasa seperti ingin mendapat duit, sehari RM10, wah pasti ini mendorong mereka untuk berpuasa penuh.

Bagi kanak-kanak ia sebagai pendorong dan latihan untuk mereka menunaikan puasa supaya apabila sudah baligh nanti mereka akan dapat menunaikan ibadah puasa ini dengan sempurna.

Bagi orang yang sudah baligh pula ibadah puasa merupakan kewajipan keatas mereka, sama seperti ibadah solat 5 waktu. Namum ada juga segelintir yang berpuasa tetapi tidak solat, mengapa ini berlaku ya. kerana solat juga merupakan perkara Fardhu Ain yang dituntut oleh setiap orang Islam untuk melakukannya. Mungkin kerana mereka rasa puasa itu mudah, semua orang mampu berpuasa, jika dia tidak berpuasa pasti dia malu pada diri sendiri. Bila bab solat dia rasa susah, kena ambil wuduk, kena pakai telekung, tutup aurat, pergi surau, mungkin inilah yang mereka anggap susah. Biarpun orang lain tidak tahu pun sama ada dia berpuasa atau tidak. 

Namun begitu, bagi mereka yang menjaga solatnya, ia tidak dianggap susah, di mana pun berada, pasti akan berusaha untuk solat, tidak akan membiarkan solat ditinggalkan begitu sahaja. Apabila kita sentiasa istiqamah menjaganya pasti kita akan berasa gilisah jika sesekali tertinggal untuk melakukannya. 

Ramadan Kareem

Sebagai orang Islam marilah kita sama-sama menjaga ibadah kita, terutamanya perkara yang wajib seperti Solat, Puasa dan Zakat, agar kita sentiasa mendapatkan keredhaan Allah. Jika ada dikalangan saudara anda tidak solat, mungkin perlu kita membimbing mereka untuk bersolat. Jika ada kawan-kawan yang tidak solat, ajaklah mereka menunaikan solat, mungkin pada mulanya mereka menolak, tetapi lama kelamaan akan terdetik dihati mereka untuk belajar solat. Oleh yang demikian sentiasalah kita menetapkan hati, istiqamah dalam melakukan ibadah, yang wajib jangan ditinggalkan. Puasa itu wajib, sembahyang itu juga wajib..fikir-fikirkanlah ya...

Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak 1435 Hijrah