Panduan menghargai Ibu dan Bapa

Setiap insan yang dlahirkan di dunia pasti dijaga oleh penjaganya, ataupun secara kebiasaanya dijaga oleh ibu-bapa mereka. Secara fitrahnya, ibu bapa pasti menyayangi anak-anak mereka, sentiasa memberikan yang terbaik dalam usaha untuk menjadikannya manusia yang berguna di masa hadapan. Tiada apa yang dapat membahagiakan ibu bapa melainkan melihat anak-anak mereka membesar dan berjaya dalam kehidupan. Harapan yang tinggi untuk melihat anak-anak mereka menjadi seorang yang berjaya dari segala aspek, pelajaran, kerjaya dan juga mencapai cita-cita.

Hargailah Ibu Bapa

Sebagai seorang anak pula bagaimana untuk kita menghargai jasa ibu-bapa? Adakah dengan hanya megirim wang ringgit sahaja? Ataupun hanya sekadar menghantar pesanan ringkas?
Di sini disenaraikan Panduan untuk kita menghargai Ibu-Bapa kita agar menjadi anak-anak yang berbudi dan berbakti kepada orang tua.
  1. Pertama sekali kita perlu sentiasa berdoa kepada Allah agar dikurniakan kesabaran dan kesungguhan dalam diri kita supaya dapat berbakti kepada kedua ibu bapa dengan sempurna. Jangan lupa juga untuk mendoakan mereka setiap kali selepas solat, kerana doa anak-anak sangat penting untuk mereka.
  2.  Elakkan memberitahu perkara yang rumit dan merungsingkan, seperti masalah keluarga kita yang kritikal atau masalah kewangan ataupun apa-apa yang yang menyebabkan mereka berasa risau. Ini kerana, supaya minda mereka sentiasa tenang dan stabil tanpa tekanan dan gangguan masalah orang lain.
  3. Sentiasa berhubung dengan ibu bapa, selalu bertanya khabar walaupun tinggal berjauhan. Dengan ada alat komunikasi yang canggih sekarang ini, pasti bukan menjadi masalah untuk kita menelefon ibu-bapa kita biarpun jauh di pedalaman.
  4. Sentiasa bersepakat dikalangan adik beradik, agar bersama-sama menjaga ibu bapa yang telah uzur atau kurang upaya. Jika kita kecil dulu mereka sanggup menjaga bagai menatang minyak yang penuh, ibu seorang boleh menjaga anak yang ramai, anak yang ramai belum tentu dapat menjaga ibu seorang.
  5. Sebagai tanda penghargaan, selalulah meminta nasihat mereka, tanda kita tidak mengabaikan pendapat mereka, selain itu biasakan anak-anak kita mendapatkan nasihat daripada datuk dan nenek mereka.
  6. Sentiasa memohon ampun dan mengucapkan terima kasih kepada mereka, sebagai tanda kita sentiasa mengharapkan keampunan dari mereka dan diredai segalanya.
  7. Berilah sentuhan. Setiap sentuhan dan pelukan dari anak-anak dapat memberikan ketenangan dan melahirkan suntikan kebahagiaan kepada mereka. Kata orang, dengan memeluk ibu bapa kita, dapat menghilangkan stress yang ada dalam diri kita, anda boleh mencubanya dan lihat sendiri.
  8. Apabila kita sendiri melakukan perkara di atas, jangan lupa untuk mendidik anak-anak kita juga memuliakan orang tua iaitu datuk dan nenek mereka sendiri.

Sekiranya kita dapat mengamalkan perkara di atas, sudah pasti kita akan merasa tenang kerana sentiasa mendapat keredaan dari ibu bapa, sentiasa mendapat doa dari mereka, kerana doa dari kedua ibu bapa adalah doa yang mustajab InsyaAllah.